Laman Utama
Kementerian Penyiaran Indonesia Tegur Stesen TV Tayang Majlis Tunang Anak Krisdayanti
Baru-baru ini, ramai mengetahui tentang penyiraran majlis lamaran Youtuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar bersama pilihan hatinya, pelakon Aurel Hermansyah menerusi sebuah stesen televisyen nasional di negara berkenaan.
Ekoran itu, Wakil Kementerian Penyiaran Indonesia (KPI), Mulyo Hadi akan mengambil tindakan terhadap isu majlis yang disiarkan menerusi stesen RCTI itu.
Memetik laporan CNN Indonesia, Mulyo mengatakan pihaknya telah menghubungi RCTI dan memberi teguran yang sepatutnya.
Difahamkan, pihaknya juga akan mengenakan tindakan ekoran kekecohan yang berlaku di media sosial sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, pihak KPI juga mengaitkan isu itu dengan penyiaran majlis pernikahan selebriti sebelumnya di stesen TV milik negara.
Menurut Mulyo, pihaknya tidak menerima alasan Atta mempunyai pengaruh besar seperti yang dinyatakan oleh stesen TV berkenaan.
"Pada 2014 dan 2015, pernikahan Raffi Ahmad dan kelahiran anak Ashanty telah disiarkan, kami juga di posisi itu, kami melihat stesen TV negara untuk digunakan buat kesejahteraan rakyat.
"Jika stesen TV mengatakan Atta mempunyai pengikut yang ramai dan mendatangkan pengaruh besar, kami tidak fikir ke arah itu," katanya.
Menurut kenyataan terbaru dari RCTI seperti yang dilaporkan Kompas.com, pihak mereka sudah menilai semula syarat penyiaran majlis itu dan mendapati tiada pelanggaran dilakukan.
Sebaliknya, penyiaran majlis pertunangan itu dibuat atas permintaan ramai penonton yang ingin menyaksikan momen manis Atta dan anak penyanyi Krisdayanti itu.