Sebagai sebahagian daripada usaha industri untuk memerangi penipuan kewangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia dan Facebook Malaysia, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, industri dan persatuan pengguna melancarkan kempen kesedaran #TakNakScam di seluruh negara untuk mendidik orang ramai tentang cara untuk mengenal pasti, menyemak dan melaporkan taktik-taktik penipuan yang digunakan oleh scammer.

Kempen yang dijalankan secara berterusan ini adalah usahasama antara Jabatan CCID Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sekuriti Suruhanjaya Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Federations of Malaysian Consumers Education (FOMCA) dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia).

"Berbanding sebelumnya, lebih ramai orang kini berada di dalam talian dan media sosial bagi membantu mereka untuk kekal berhubung dengan komuniti, keluarga, dan rakan-rakan di seluruh dunia.

"Walau bagaimanapun, bukan orang baik sahaja yang berada dalam talian. Dengan peningkatan kes scam di seluruh Malaysia, kami berharap kempen ini dapat membantu dan menyokong pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang serta agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan pengguna dan industri, dan sektor perkhidmatan kewangan dalam membina dan memastikan ekosistem dalam talian yang lebih selamat di Malaysia," kata Justin Murugaya, Pengarah Interim Negara, Facebook Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa perdayaan dan penipuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, dan penipuan kewangan merupakan antara kes yang paling banyak berlaku, memandangkan scammer mengambil kesempatan terhadap kebergantungan kepada teknologi yang semakin meningkat.

Menurut rekod PDRM, jenayah siber di Malaysia meningkat pada tahap yang membimbangkan. Sejak lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 67,552 kes penipuan siber telah dilaporkan di antara tahun 2017 dan 20 Jun 2021 yang mencatat kerugian keseluruhan berjumlah RM2.23 billion. Daripada jumlah tersebut, kes penipuan pembelian atas talian atau e-dagang merekodkan kes tertinggi sebanyak 23,011 kes, diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 21,008 kes dan penipuan pelaburan sebanyak 6,273 kes.

“Kami amat prihatin tentang peningkatan kes penipuan atau Scam berkaitan kewangan di seluruh Malaysia, terutama di platform media sosial dan atas talian. Oleh itu menjadi amat penting bagi sektor awam dan swasta, NGO dan masyarakat untuk bekerjasama dalam memerangi sebarang bentuk jenayah Scam dengan meningkatkan kesedaran, mendorong pemikiran kritikal dan mendaya-upaya orang ramai untuk bertindak cepat serta mengambil tindakan melalui pemesejan, advokasi dan maklumat yang mudah difahami, panduan dan sistem sokongan yang padu,” kata Yang Berhormat Dato' Haji Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Kami menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang sepatutnya dan menyertai kami dalam memerangi jenayah siber serta memastikan platform-platform digital kita sentiasa selamat.

"Jika semua orang berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini berleluasa, scammer akan terus mengeksploitasi komuniti kita. Justeru itu, orang ramai harus tahu bagaimana dan di mana untuk melaporkan pelbagai scam kewangan kerana ini akan meningkatkan kualiti data yang dikumpulkan oleh pelbagai badan penguatkuasaan bagi membantu menangani insiden-insiden scammer,” kata SAC Victor Sanjos, Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID).

Di Malaysia, jenis-jenis scam kewangan yang paling lazim termasuk penyamaran bank /pihak berkuasa, pinjaman tidak wujud, pelaburan haram, scam e-dagang serta akaun keldai/sewa akaun bank dan kad ATM yang merupakan fokus utama kempen ini.

Kempen #TakNakScam menyeru orang ramai untuk mengingati 3 langkah mudah: "Kenal pasti, Semak, Lapor" agar kekal waspada dalam mengenal pasti, mengesahkan dan melaporkan penipu kewangan.

i. Kenal Pasti: Sewaktu berurusan dengan kontak yang tidak dikenali, sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam mempertimbangkan risiko bahawa orang tersebut mungkin seorang scammer. Apabila anda dapat mengenal pasti jenis scam atau scammer, anda boleh mengelak dari menjadi mangsa.
ii. Semak: Apabila anda mengesyaki sesuatu konten atau kontak merupakan penipuan, buat semakan dengan pihak berkuasa melalui saluran-saluran rasmi.
iii. Lapor: Sekiranya konten atau panggilan telefon kelihatan aneh dan jika anda rasa anda telah menjadi mangsa jenayah, anda boleh menghubungi pihak-pihak berkuasa tempatan dan pihak polis. Juga pastikan untuk melapor sebarang aktiviti, individu atau akaun yang mencurigakan kepada pihak Facebook, Instagram, dan WhatsApp.


“Seperti mana pandemik telah merubah cara kita berinteraksi, bekerja dan bersosial, penjenayah siber juga telah mengubahsuai modus operandi mereka untuk menyasarkan individu-individu melalui pelbagai cara. Scammer kini semakin canggih dengan taktik mereka dan berharap agar anda leka.

"Kami terus mengingatkan pengguna untuk tidak memberikan sebarang maklumat peribadi, perbankan atau butiran mereka kepada orang yang tidak dikenali yang menghubungi mereka melalui panggilan telefon,” kata Saravanan Thambirajah, ketua pegawai eksekutif, FOMCA.

Di sepanjang kempen ini, video-video pendidikan, serta panduan dan petua untuk mengenal pasti, menangani dan melaporkan kegiatan penipuan akan dikongsikan secara komprehensif di pelbagai saluran dalam talian dan luar talian oleh kesemua rakan kerjasama kempen ini.

Sekiranya orang awam mengesan sebarang bentuk penipuan kewangan, mereka disarankan untuk membuat laporan kepada CCID. Pusat Tindakan Penipuan CCID atau CCID Scam Response Centre telah beroperasi sejak 15 Februari 2021, dan boleh dihubungi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari di talian 03-26101559 dan 03-2610 1599.

Untuk sumber-sumber dan maklumat lanjut mengenai kempen #TakNakScam, kunjungi pusat sehenti di https://wethinkdigital.fb.com/my/en-my/taknakscam/.