Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kempunan Ke Thailand? Syarat Ketat Melancong Ke Negara Itu Akhirnya Dilonggarkan Termasuklah…

Hanafis Haris
23/04/2022 18:22 MYT

Berita baik buat mereka yang telah lama ‘kempunan’ ke Thailand apabila negara berkenaan akhirnya melonggarkan syarat kemasukan pelancong antarabangsa.

Menerusi laporan Reuters, Thailand akan membatalkan ujian RT-PCR ketika ketibaan untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei 2022.

Difahamkan, langkah terbaharu diambil untuk memulihkan industri pelancongannya yang terjejas.

Menurut laporan itu lagi, pelancong hanya digalakkan untuk melakukan ujian kendiri antigen semasa penginapan mereka dan bukannya skim ‘Test & Go’ yang mana pelancong mesti mengasingkan diri di hotel sementara menunggu keputusan ujian semasa ketibaan.

Selain itu, pelancong tidak lagi perlu membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan.

Jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata, insurans perubatan turut dikurangkan daripada US$20,000 kepada US$10,000.

Untuk makluman, pelancongan merupakan pemacu penting ekonomi di Thailand.

Negara berkenaan salah satu destinasi percutian paling popular di Asia, mewakili kira-kira 12% daripada keluaran dalam negara kasar sebelum wabak Covid-19.



#Travel #Thailand #Bangkok #Pelancong
;