Penyanyi Siti Nordiana mendedahkan pernah dibenci oleh peminat Tomok sekitar tahun 2004.

Mengimbas kembali kenangan zaman kemasyurannya bersama Newboyz, Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana memberitahu dia pernah diserang oleh peminat Tomok sehingga membuatkannya tidak dapat meneruskan persembahan.

Nana mendedahkan perkara itu menerusi program Rumah No 107 yang bakal bersiaran pada Jumaat ini.

“Nak jadikan cerita ni dulu saya pernah kena baling telur dengan peminat Tomok sebab masa zaman itu saya sering digosipkan dengan dia.

“Kebanyakkan peminat Newboyz adalah perempuan, jadi mereka jugalah yang baling-baling telur dekat atas pentas sampai saya tak boleh menyanyi disebabkan peminat mereka tak suka Nana,” katanya.

Selain Nana, Tomok juga merupakan tetamu undangan untuk program tersebut.

Rumah No 107 dihoskan oleh Khir Rahman bersama Joey Daud, Man Raja Lawak, Ropie dan juga Vicha dengan watak masing-masing.

Jangan lupa saksikan episod penuh Nana dan Tomok menerusi Rumah 107 pada Jumaat, jam 9:00 malam di Astro Warna HD (saluran 107), Astro Warna (saluran 127) dan Astro Go.