HIBURAN

Kena 'Hencap' Dengan Netizen, Aisha Retno Tak Melatah - "Saya Rasa Terharu Kerana..."

Ainun Md Zooki 15/08/2025 | 06:55 MYT
Penyanyi, Aisha Retno memilih untuk kekal positif selepas aksinya menari di TikTok menjadi bualan ramai.

Jelas Aisha, dia menganggap kejadian tersebut sebagai peringatan untuk lebih berhati-hati dan bersikap matang dalam setiap tindakan.

“Saya mengambilnya secara positif. Saya mendengar dan membaca komen-komen tersebut. Mungkin ia merupakan peringatan yang baik bagi saya.

“Sejak membesar, pada usia 25 tahun ini, mungkin saya perlu lebih matang dari segi pemakaian ataupun cara saya mempersembahkan diri sendiri,” katanya kepada Gempak.


Oleh itu, pelantun lagu Tak Adil turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang sering memberikan nasihat dan teguran.

Baginya, teguran yang diberikan menandakan masih ada yang mengambil berat tentang cara dia membawa diri di media sosial.

“Terima kasih banyak atas nasihat-nasihat itu. Ia bermaksud mereka peduli terhadap saya.

“Saya rasa terharu kerana ada orang kisah tentang kita. Alhamdulillah, dapat peringatan seperti ini.

“Saya tak terasa langsung dengan kata-kata mereka, sebaliknya saya anggap ia sebagai motivasi untuk menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

#Viral #Netizen #Menari #TikTok #Positif #Aisha Retno