Finalis Anugerah Juara Lagu (AJL33), Ara Johari mengambil pendekatan untuk tidak keluar rumah hingga larut malam demi menjaga kesihatan vokal.

Jelas Ara, dia enggan dilabel sebagai seorang penyanyi sering sakit menjelang acara besar seperti AJL.

"Tahun ini saya lebih fokus kepada menjaga kesihatan dan sekarang pun Alhamdulillah sudah okey.

"Saya kena kurangkan berembunlah. Tak boleh keluar sampai lewat malam dan waktu tidur pun sudah betul.

"Selepas AJL baru boleh hoorey-hoorey!" katanya kepada Gempak.

Ara yang ditemui pada EDMA 2018 di Galaxy Banquet Setapak Kuala Lumpur baru-baru ini sudah mempraktikkan gaya hidup sedemikian sejak dua minggu lalu.

Pada AJL32, Ara gagal memberikan persembahan terbaik menerusi lagu Warkah Untukmu apabila berdepan masalah kesihatan.

Sementara itu, mengulas komentar vokal bingit setiap kali mengadakan persembahan jelas Ara dia akan cuba memberikan persembahan sehabis baik pada AJL33 nanti.

"Bergantung pada pendengar sebenarnya, ada yang cakap bingit tetapi lagu itu memang tinggi.

"Kalau teknik yang betul, takkan dengar bingit. Saya sudah membuat sehabis baik dan cuma mengawal stage fright apabila tiba hari persembahan nanti," jelasnya.

Lagu Bunga ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok bakal berentap di pentas AJL33 pada 3 Februari ini.

Ditanya tekanan apabila lagu itu diramal antara calon juara AJL33, ini jawapan Ara.

"Ramai yang meletakkan harapan dan saya akan bagi yang terbaik! Pencipta lagu ini pun selalu menghubungi saya untuk sentiasa menjaga kesihatan," tambahnya.