Aktor popular, Fattah Amin berkongsi kisah mengenai pengalaman seramnya ketika menjalani penggambaran filem terbaru Miimaland.

Menurut Fattah, terdapat beberapa kejadian aneh telah menimpa beberapa pelakon dan krew sepanjang lebih 20 hari penggambaran dijalankan.

“Bila dapat je skrip saya terus kita buat research tempat tu tentang apa, kisah dan sejarahnya.

“Kemudian bila dapat tahu yang tempat tu banyak kisah aneh dan kes mati, saya kena bersiap sedia mental dan fizikal.

“Saya syukur tak ada alami apa-apa yang aneh tapi pelakon lain dan krew banyak juga yang kena ‘kacau’,” katanya.

Jelas Fattah, antara perkara pelik yang berlaku termasuklah dua kenderaan yang tidak boleh bergerak secara tiba-tiba.

“Waktu nak shoot adegan kereta, tiba-tiba saja kenderaan tu tak boleh nak bergerak, rosak terus.

“Peliknya lagi, bila ganti dengan kenderaan lain, kereta tu pun rosak juga. Malah, ada babak hujan yang menggunakan khidmat lori air pun gagal berfungsi.

“Lepas tu ada juga yang kena rasuk, saya tak pasti saya boleh dedahkan atau tidak tapi memang berlaku depan mata saya,” katanya.

Tambahnya, dia juga sebenarnya pernah ke taman tema tersebut ketika kecil.

“Bila buat research, baru saya teringat saya pernah pergi taman tema ni masa kecil dulu.

“Alhamdulillah sepanjang penggambaran, saya tak ada pun alami perkara-perkara aneh,” katanya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Miimaland malam baru-baru ini.

Miimaland mengisarkan mengenai sekumpulan individu yang terpaksa membuat penggambaran di sebuah taman tema selepas menerima satu projek.

Taman tema yang dibuka sejak 1971 itu dibiarkan terbengkalai selepas berlakunya tanah runtuh pada tahun 1994.

Walaubagaimanapun, pelbagai pengalaman misteri dan insiden seram berlaku sepanjang penggambaran dibuat.

Selain Fattah, Miimaland turut dibintangi Sophia Albarakbah, Camelia Natasya kmn, Hazzy Alzeeq dan Zalif Sidek.

Filem arahan Nevin Hiong ini bakal ditayangkan 24 September.