HIBURAN
“Kena Tanya Dia…” - Linda Hashim Enggan Ulas Dakwaan Video Beego Di Kelab Malam
Pelakon, Linda Hashim enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan seorang artis lelaki yang dilihat berhibur di kelab malam ketika rumah tangganya bergolak adalah suaminya, pelakon Beego.
Linda atau nama lengkapnya, Norhazlinda Hashim, 40, bagaimanapun tidak menafikan atau mengesahkan mengenai khabar angin yang mula bertebaran sejak Jumaat lalu.
“Saya perasan juga sebenarnya mengenai dakwaan tersebut sebab ada yang berikan saya link artikel mengenai perkara itu. Tapi saya tak sempat baca apa yang ditulis atau semak komen sebab memandu selama lima jam. Cuma adakah artis itu dia (Beego), kena tanya dia. Jangan tanya saya,” katanya.
Linda ditemui Gempak semasa menghadiri majlis tayangan perdana filem PARAXNORMAL di pusat beli belah IOI Mall Damansara pada Jumaat.
Tambah pelakon Waris itu, dia enggan mengambil tahu tentang kehiduoan Beego dan mahu memberi fokus kepada diri sendiri.
“Jadi berkenaan berita hari ini saya tak nak campur. Hidup dia adalah hidupnya. Saya pun sudah lupakan dan fokus dengan hidup saya. Cuma kalau hidup dia masih begitu, itu pilihan dia. Saya pun sudah tidak mahu masuk campur lagi.
“Kalau betul itu dia, kalau ya, kita doakan yang baik-baik untuknya sebab masih ada anak-anak. Kes yang di sini (cerai) pun belum selesai lagi. Kita selesaikan itu dulu,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat video memaparkan seorang artis lelaki sedang asyik menari di sebuah kelab malam serta berhibur dengan rakan-rakannya termasuk wanita.
Menerusi ruangan komen, ada netizen mengaitkan Beego dengan video tersebut, susulan laporan terdahulu berkenaan pergolakan rumah tangga mereka.
Must-Watch Video