Pelakon Hairul Azreen akui tidak serik untuk melakonkan babak aksi biarpun pernah mengalami kecederaan sewaktu penggambaran filem terbarunya, Wira.

Menurut Hairul, kecederaan yang dialami ketika melakonkan aksi lagak ngeri itu dianggap sebagai perkara biasa.

“Sebelum ini saya pernah cedera dalam filem Paskal tetapi kecederaan ketika menjayakan filem Wira adalah paling teruk setakat ini.

“Kalau boleh saya tak mahu cedera, hari pertama latihan berlangsung itu yang saya doa.

“Kalau Paskal saya patah tangan tapi untuk Wira pula lain insidennya. Tetapi itulah benda kalau nak jadi, jadi juga.

“Susah nak elak perkara sebegitu sekiranya berlakon untuk filem aksi. Kena penumbuk, terkena letupan dan bengkak itu semua normal,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Hairul lagi, dia berasa puas hati dapat melakonkan babak aksinya sendiri.

“Serik? Saya rasa tak sebab itu memang minat saya. Saya dah pilih jalan seperti ini.

“Kalau dulu saya melakonkan aksi lagak ngeri untuk pelakon lain sekarang rasa puas hati dapat buat untuk filem sendiri.

“Kalau tanya saya takut atau tidak, saya percaya kepada ‘stuntman’ yang ada terutamanya abang Yayan,” jelasnya.

Selain Hairul, filem Wira yang menggabungkan pelakon dari Malaysia dan Indonesia ini turut menampilkan Fify Azmi, Henley Hii, Yayan Ruhian, Ismi Melinda dan ramai lagi.

Filem ini diarah oleh pengarah filem PASKAL The Movie, Adrian Teh dan bakal ditayangkan pada 21 November 2019.