Laman Utama

Kenal Allahyarham Siti Sarah Dari Usia 16 Tahun, Misha Omar: "Tak Ada Dah WhatsApp Random Rambut 'Pelesu' Kejung Dari Sah Buat Kak Chah"

gempak
Maliah Surip
11/08/2021
01:45 MYT
Sponsor Banner
Kenal Allahyarham Siti Sarah Dari Usia 16 Tahun, Misha Omar: "Tak Ada Dah WhatsApp Random Rambut 'Pelesu' Kejung Dari Sah Buat Kak Chah"
"Saya memang bukan dalam kalangan sahabat baik Allahyarham Siti Sarah, tapi selama berkenalan sejak belum terkenal sebagai anak seni di usia 16 tahun, kami tidak pernah berseteru," demikian luah penyanyi Misha Omar mengenai hubungannya dengan Sarah yang sempat diwar warkan dingin.
Menurut penyanyi Sampai Bila ini, hubungan dia dan pelantun Jangan Kau Mimpi itu umpama perseteruan antara dua atlet.
"Berseteru di gelanggang, membina nama bersama di sebelah sebelah tapi persaingan itu Allah cipta untuk kami menjalin persahabatan," luah Misha kepada Gempak.
Mengenang kembali momen perkenalan bersama Allahyarham yang membahasanya dirinya Sah, Misha bertemu Sarah sewaktu sama sama mengikuti pertandingan Bintang RTM 2001.
Tempoh waktu melakukan sesi latihan untuk ke final yang agak panjang membuatkan perkenalan mereka berbuah menjadi persahabatan.
"Waktu kami berkenalan, saya atau Sarah bukan siapa siapa. Kami belum bergelar penyanyi apalagi menjadi sebagai salah seorang anak seni yang dikenali macam sekarang.
"Saya ingat lagi, waktu itu baik saya mahupun Sarah, sama sama tak menang. Juara pada waktu itu adalah Azaharina dan naib juara Asmidar. Sejak itu walaupun kami jarang bertemu, hubungan kami tidak pernah renggang.
"Bayangkan, kadang kadang Sarah akan menghantar pesanan WhatsApp secara random, mengutuk rambut palsu kejung saya dulu dulu sambil cakap dia dan Shuib tak berhenti ketawa dan saya membalas hal yang serupa kerana kami bermula di garisan yang sama sebelum membawa haluan masing masing.
"Jadi rasa hormat dan menghargai usaha sesama kami tetap mengalir," katanya yang berbeza empat tahun usia dari Sarah.
Mengaku nama mereka sering dikaitkan dalam konotasi persaingan, namun persaingan itulah yang membibitkan persahabatan sehingga mereka kali terakhir berkolaborasi melalui Konsert Soul Sisters pada tahun 2019.
"Persaingan kami tak makan ke jiwa. Dalam perjalanan seni, kami sama sama telah berada dalam banyak pertandingan. Masuk Bintang RTM, Anugerah Juara Lagu, macam macam. Dan akhirnya Sarah merealisasikan impian besar dia untuk mengadakan konsert.
"Sekali lagi pada waktu itu selain Noryn Aziz, saya dan Sarah berkolaborasi bersama untuk Konsert Soul Sisters. Itu adalah kenangan yang sangat manis buat karier kami bersama. Hal itu juga membuat saya rasa tak ralat dengan pemergian Sarah kerana dia telah berjaya menunaikan impiannya dalam bidang seni," kata Misha.
Temubual yang berlangsung kemudian sunyi sebentar. Dalam nada sebak, Misha mengatakan: "Lepas ini tak ada dah orang nak panggil saya Kak Chah.
"Sarah satu satunya rakan artis yang tak pernah panggil saya dengan panggilan Misha Omar atau Kak Mitch.
"Sejak kenal 16 tahun lalu, dia memang panggil saya Kak Chah dan membahasakan dirinya Sah," kata Misha menahan sebak.
Diminta mengulas mengenai pemergian Sarah pada Isnin 9 Ogos 2021 yang menarik perhatian ramai, Misha mengatakan tidak terkejut dengan sambutan masyarakat terhadap penyanyi yang meninggalkan empat orang cahaya mata itu.
"Akhirnya Malaysia nampak keperibadian dia yang caring, banyak bersedekah, mengembirakan orang lain dan sentiasa membantu bila orang ada masalah.
"Dan satu sikap Sarah yang sangat saya kagumi, dia sangat mudah meminta maaf. Jika orang mengenali Sarah, semua tahu dia memang kuat mengusik.
"Tapi bila dia rasa mungkin usikan tersebut boleh membuat orang sakit hati, dia tak ego dan tak malu minta maaf. Dia akan selalu cakap 'Kak Chah maafkan Sah ya. Sah minta maaf tau. Dia tak lokek dan malu minta maaf," ujar Misha yang menyifatkan dirinya kini hilang seorang lagi teman dan pelaku seni berkaliber dalam industri.
Terdahulu, Sarah meninggal dunia selepas bertarung selama empat hari akibat jangkitan COVID 19.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024