HIBURAN

Kenalan Rapat Dedah Anna Jobling Belikan Rumah & Bagi RM10,000 Pada Ibu Sebulan - “Kenapa Putar Belit Konon...”

Umirah Halim 17/08/2025 | 23:55 MYT
Kemelut keluarga antara pelakon, Anna Jobling bersama ibunya, Ariz Arop terus hangat apabila muncul seorang individu dipercayai kenalan rapat keluarga tampil membuat pendedahan mengejutkan di media sosial.

Menerusi ruangan komen di Instagram yang menggunakan akaun @birdflyhigher, individu terbabit mendakwa Ariz pernah bertindak kasar terhadap Anna sehingga hakim melarangnya daripada berbuat demikian.

“Acik (Ibu Anna Jobling), cuba muat naik video acik sepak dan pukul anak sampai hakim melarang acik. Itu acik tak cerita pula. Baik anak tak mahu cerita. Yang buruk pasal anak di Pavilion tu sahaja acik sebarkan. Acik kan ibu, macam ini ke seorang ibu terhadap anak?” tulisnya.

Menurut individu itu lagi, permintaan Anna sebenarnya mudah iaitu hanya mahu menghentikan penderaan secara fizikal, namun Ariz didakwa memutarbelit cerita sehingga anak sendiri dianggap derhaka.

“Anak minta perkara mudah saja, berhenti pukul. Dia sudah 25 tahun. Tapi acik pusing cerita di media seluruh dunia untuk ajak orang fitnah. Berdosa tahu acik.

“Jangan guna gelaran ibu untuk halalkan fitnah pada anak. Saya cabar acik muat naik semua mesej acik dengan anak. Saya cabar acik tunjuk bukti. Anak diam sebab sayang ibu. Ibu? Sayang anak atau sayang duit anak sahaja? Anak setiap bulan bagi dekat RM10,000 pada acik acik tak cerita? Anak jaga dan belikan rumah pun acik tak cerita?” dakwanya lagi.

Dalam pada itu, individu berkenaan mendakwa sikap Anna yang memilih untuk berdiam diri bukanlah kerana lemah, sebaliknya demi menjaga maruah ibunya walaupun dirinya sering dipersalahkan.

“Yang acik cerita, bila anak minta supaya acik berhenti pukul. Lepas itu acik putar belit kononnya anak derhaka. Jangan tamak acik, Allah tak tidur. Ibu tak lari daripada dosa. Anna buat tindakan yang betul bila dia diam. Nanti bila anak tak bagi duit, acik nak maki apa lagi, nak pukul apa lagi?

“Anak lain bagi mak RM4,000 pun mak dah syukur. Acik lebih-lebih pula. Jangan aniaya anak acik,” tulisnya lagi.

Komen tersebut turut menegur tindakan Ariz yang didakwa sengaja memperbesar-besarkan isu berkenaan sehingga menjejaskan reputasi anaknya sendiri.

“Acik jangan padam pula komen ini. Risau kalau acik tidak mahu orang tahu apa yang sebenarnya acik sudah lakukan dan sebab acik viralkan.

"Tak adil kalau hanya acik seorang sahaja yang bercerita, biar juga orang sekeliling acik yang tahu perkara sebenar turut bersuara sama ada tentang apa yang acik buat, apa anak acik buat ataupun apa yang adik-beradik acik buat.

“Dulu saya hormat acik sebagai orang tua, tetapi sekarang terus hilang rasa hormat. Ingat, orang tamak selalu rugi. Jangan sesekali gunakan agama untuk menghalalkan tindakan sendiri kerana acik pun bukan maksum. Lebih baik acik berhenti. Anak itu memilih untuk berdiam diri, tetapi acik sendiri yang memburukkan nama sendiri,” katanya lagi.

Ketika ada netizen yang mendakwa akaun berkenaan sebenarnya milik Anna Jobling, individu tersebut bagaimanapun tampil menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa dirinya hanyalah kenalan rapat keluarga sebelah ibu pelakon berkenaan.

“Saya kenalan rapat belah maknya saja. Dah cuba cakap baik-baik, tanya dengan media kenapa tak boleh bincang elok-elok.

‘Tak baik la macam ini. Kesian anaknya, dan kesian juga pada acik Ariz sebab bila acik ‘triggered’ masalah kesihatan mental, habis acik viral, benda itu balik kepada acik. Kita sama-sama muhasabah diri,” jelasnya.

Menerusi tinjauan Gempak di Instagram pula, ruangan komen di akaun milik ibu Anna didapati telah ditutup.

Malah, sehingga kini, tiada penjelasan lanjut diberikan Anna atau ibunya mengenai dakwaan berkenaan.

Terdahulu, hubungan dingin antara Ariz dan Anna menjadi perhatian ramai selepas tular dakwaan wanita itu dilayan secara hina oleh anaknya, termasuk digelar seperti ‘anjing kurap’ serta diminta keluar dari kereta oleh peguam anaknya.

Isu tersebut dilihat semakin tegang selepas Ariz sebelum ini mendedahkan menerima surat teguran dan perintah injunksi daripada pihak Anna, sekali gus memaksa dirinya melantik peguam untuk menjawab tuntutan berkenaan.

TripCarte Activity

Eratkan Ikatan Keluarga

Kasih sayang itu tidak hilang, ia hanya tersembunyi di sebalik salah faham. Luangkan masa untuk bersama, ketawa, dan saling memahami semula. Setiap detik kecil yang kita kongsi adalah langkah memulihkan hati.


Adventur Keluarga Disini
#Ibu #Rumah #Duit #Anna #Jobling