Aktres cantik, Uqasha Senrose menafikan dirinya seorang 'playgirl' selepas dikhabarkan menjalin hubungan cinta dengan pelakon Ben Amir.

Menafikan dakwaan tersebut, Uqasha menjelaskan dirinya sedang mengenali Ben dan masih belum lagi memasuki fasa percintaan.

"Saya juga seperti manusia biasa. Jika saya mengenali seseorang, takkan saya nak sorokkkan pula?

"Saya akui, kini saya sedang mengenali hati budi Ben. Tetapi semuanya masih awal lagi untuk diperkatakan.

"Jika bukan jodoh, apa yang boleh saya buat. Saya juga risau jika ada orang gelarkan saya 'playgirl'.

"Saya tak mahu berfikiran negatif dan mohon doa yang baik-baik dari semua pihak," katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Hantu Kak Limah di MMCineplex, e@Curve baru-baru ini.

Menerusi filem tersebut, Uqasha membawa watak sebagai seorang gadis bunian.

"Alhamdulillah, tawaran untuk berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid adalah satu peluang keemasan.

"Membawa karakter gadis bunian, saya hanya mengikut arahan Mamat kerana saya sendiri tak tahu bagaimana mahu menjayakan watak terbabit.

"Saya sendiri tak pernah melihat gadis bunian tetapi saya harap semua akan terhibur dengan filem ini," selorohnya.

Hantu Kak Limah yang turut menampilkan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Sabri Yunus dan ramai lagi ini akan menemui penonton pada 9 Ogos ini!

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Uqasha