Kenali Zoha Rahman! Watak Wanita Berhijab Pertama Muncul Dalam Spiderman: Far From Home

Amri Hassan
Julai 9, 2019 17:20 MYT
Bagi yang sudah menonton filem terbaharu Marvel Spiderman: Far From Home pasti akan terpandang kelibat seorang wanita muslim berhijab yang menjadi rakan sekelas Peter Parker.
Biarpun sekadar watak sampingan, ramai yang sudah membuat andaian bahawa Marvel Cinematic Universe sudah mula menerima kehadiran watak wanita muslim.
Jom semak fakta menarik tentang gadis kacukan Pakistan-British ini, Zoha Rahman:
1. Dilahirkan di Pakistan, Zoha berpindah ke London bersama keluarganya pada tahun 2012 untuk menyambung pelajaran.
2. Merupakan graduan dalam bidang undang-undang, Zoha bagaimanapun meneruskan minatnya dalam bidang peragaan dan lakonan.
3. Zoha berupaya untuk bercakap dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Urdu, Hindi dan Punjabi.
Malah, gadis itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin, Arab dan aksen Kanada sera Pashto.
4. Dalam kehidupan sebenar, Zoha tidak berhijab.
Malah, ketika sesi ujibakat Zoha tidak dimaklumkan mengenai watak yang bakal dilakonkan sehingga mendapat tawaran kontrak.
"Saya muslim tetapi saya tidak berhijab," katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.
5. Selain Spiderman: Far From Home, Zoha pernah muncul dengan sebuah filem Telugu berjudul Mr. Majnu pada Januari lalu.
Dengan kemunculan Zoha dalam Spiderman: Far From Home itu sedikit sebanyak menguatkan spekulasi bahawa dia bakal melakonkan watak Ms Marvel iaitu Kamala Khan kelak.
"Saya sering diajukan soalan ini. Saya sendiri berharap ia akan menjadi kenyataan tetapi saya tak tahu," katanya kepada Teen Vogue.
Filem Spiderman: Far From Home merupakan kesinambungan daripada Spiderman: Homecoming yang menampilkan Tom Holland sebagai watak utama.
Sejak mula ditayangkan pada minggu lalu, Spiderman: Far From Home telah berjaya mengutip lebih AS$500 juta (RM2.067 bilion).
Sumber: Teen Vogue, The Forbes, The National
#Tom Holland #Spiderman: Far From Home #Zoha Rahman