Popular dengan lagu-lagu galau, tidah hairan jika penyanyi popular Indonesia Andmesh telah membuatkan penonton Konsert Andmesh Kamaleng Live In Kuala Lumpur di Plenaru Hall, KLCC pada Ahad ikut sebak sehingga mengalirkan air mata.

Andmesh pada mulanya tidak dapat menahan sebak apabila dia membawakan lagu berjudul Luka yang mengimbau kenangan bersama mendiang ayahnya, Yes Kamaleng.

Suara Andmesh ketika itu sudah mula tersekat-sekat kerana tidak dapat menahan sebak menyanyikan lagu yang menikam jiwanya.

Tidak cukup dengan itu, air mata Andmesh terus gugur berjujuran apabila menyanyikan lagu seterusnya berjudul Hanya Rindu iaitu lagu khas buat pemergian ibunya, Bernadeta Laure sebelum ini.

Ketika itu, rata-rata penonton di dalam dewan juga sudah mula mengangis teresak-esak turut sebak dan memahami perasannya lebih-lebih lagi dua adik perempuan yang hadir di konsertnya pada malam berkenaan naik ke pentas lalu memeluknya.

“Mereka berdua adalah sisa harta yang berharga saya miliki dan alasan masih tersenyum bahagia sehingga hari ini.

“Tidak kiralah ibu bapa saya ada atau tidak, pastinya mereka bangga melihat saya dari ‘sana’ yang sedang berdiri membuat persembahan di sini,” luahnya.

Visual yang dipaparkan di skrin lebar atas pentas turut memainkan peranan apabila mengimbau foto-fotonya bersama ibu bapanya yang sudah pergi meninggalkannya buat selamanya.

Bagaimana pun konsert tetap diteruskan apabila Andmesh mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Cinta Luar Biasa, Jangan Rubah Takdirku, Ku Bisa Tanpa Mu, Anugerah Terindah dan banyak lagi.

Malah Andmesh sempat membuat panggilan video bersama dengan penyanyi Mahalini sebelum menyanyikan lagu ciptannya Sial khas buat peminatnya yang meminati lagu tersebut.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu berjaya membuai jiwa hampir 2,000 penonton dengan lagu-lagu cinta serta galau yang menyentuh perasaan.

Kelihatan kehadiran ramai artis tempatan yang hadir ke Andmesh Kamaleng Live In KL dibawakan khas oleh Kharisma Music Talent antaranya adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Nadia Anuar, Aliff Aziz, dan Bella Astillah.