Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kenapa Ada Manusia Dunia Ini Zalim Ek? Musnah Impian Seorang Ayah Nak Tengok Anak Berjaya" - Bapa Sissy Iman

Amri Hassan
24/01/2023 07:55 MYT
Bapa kepada penyanyi Sissy Iman, Mohammad Kamil Moustaffa berkongsi luahan perasaannya di Instagram, terluka dan kecewa dengan situasi yang menimpa anaknya ketika ini.

Kata Kamil yang mengimbau semula kenangan anaknya pertama kali dikritik hebat oleh saudaranya sendiri, tidak terduga insiden sama berulang secara langsung di kaca televisyen baru-baru ini.

"Aku masih ingat masa dia berusia lima tahun dia pernah dimarahi Pak Longnya kerana suka menjerit (annoyingly). Aku terasa hati, tapi aku tak marah Pak Long kerana aku tahu itu salah dia.

"Aku rasa kalau itu Pak Longnya, pertalian darah, aku masih boleh terima tapi aku terfikir bolehkah aku terima kalau orang luar buat benda yang sama?" ceritanya.

Dek insiden terbabit, Kamil atau turut menggelarkan dirinya Ayahanda mengambil inisiatif mendapatkan khidmat guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat sehingga akhirnya bakal muncul dengan album sulungnya yang dijadualkan dilancarkan pada 2 Februari depan.

"Aku ambil langkah untuk panggil guru vokal ajar Sissy untuk belajar kawal suara dia, supaya tak kena marah dengan orang lain. Tak sangka, dengan bantuan guru vokal itu, di usia 16 tahun dia terpilih menyertai Koir Kebangsaan oleh Datuk Syafinaz Selamat.

"Apa yang membanggakan aku, dia membawa pulang tiga trofi di Bali International Choir Festival dalam kategori vokal. Pertandingan ini bertaraf dunia! Aku rasakan modal aku selama ini berbaloi. Terima kasih Datuk Syafinaz kerana membimbing Sissy dengan baik dan berjaya menjadi dia yang sekarang ini.

"Atas itu jugalah bermulalah karier di industri hiburan bila dilamar dan disambar oleh syarikat rakaman dalam dan luar negara.

"Sebelum dia merakam album di London, dia ada buat presentation untuk dapatkan bajet dari aku. Yang menyentuh perasaan aku bila dia kata 'Yanda, bonda, sembilan tahun kakak dalam industri tak pernah sekali belanja untuk beli handbag mewah, boleh tak guna bajet tu untuk rakam album kat London? That is my ultimate dream as singer, composer and all, please'



"Tanpa ragu-ragu, aku restu saja apa juga kos. Dia sangat teruja! Tak sabar nak lancarkan album 2 Februari 2023. Dah rancang macam-macam tapi runtun hati ini bila aku terbaca dia buat keputusan seperti yang dia post di IG," luahnya.

Tambah Kamil lagi, melihatkan situasi anaknya itu ketika ini turut menyentuh hatinya. Malah, Kamil terkilan apabila hasratnya untuk melihat Sissy sukses makin malap.

"Kenapa ada manusia dunia ini zalim ek? Impaknya sangat besar hingga bakal memusnahkan impian seorang ayah yang nak tengok anak dia berjaya. Bertahun aku tunggu.

"Namun demikian Alhamdulillah dalam kezaliman, ada juga insan-insan yang berhati mulia yang masih memberi dia sokongan untuk dia terus bersemangat. Kasih sayang tanpa syarat.

"Berlinang juga air mata aku tanpa sedar membaca komen-komen dan doa yang baik-baik buat dia tanda sokongan.

"Masya-Allah.... Aku hanya mampu berdoa: La Takhaf Wa La Tahzan. Innallaha Ma’ana “Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati, Sesungguhnya Allah bersama kita"," kongsinya lagi.

Kecoh baru-baru ini apabila penyanyi Sissy Iman dan Naim Daniel yang menyertai sebuah program realiti televisyen dikritik secara kasar oleh juri tetap selepas menyanyikan lagu Jampi (Hael Husaini) dalam irama keroncong.

#Viral #Album #Mas Idayu #Menangis #Syafinaz Selamat #Bapa #Sissy Iman #Ayahanda #Kritik #Mohd Kamil
;