Tiada angin tiada ribut, isu berkaitan kentut melalui faraj secara tiba-tiba trending di platform Twitter.

Difahamkan, perbincangan mengenai isu itu tercetus apabila ada individu yang bertanyakan kepada seorang ustaz sama ada kentut melalui faraj akan membatalkan wujuk seperti mana kentut melalui dubur.

Bagi menjawab persoalan berkenaan ustaz tersebut kemudian tampil menjelaskan beberapa perkara.

Menurutnya, terdapat pandangan yang berbeza daripada ulama mengenai hukum kentut faraj atau keluarnya angin daripada kemaluan hadapan wanita.

“Para ulama mazhab Syafie mengatakan batal. Kerana umumnya, apa-apa saja yang keluar daripada kemaluan depan dan belakang, membatalkan wuduk.

“Namun demikian, ada pandangan lain daripada mazhab Hanafi dan Maliki bahawa ianya tak membatalkan wuduk.

“Hujahnya adalah kerana ia bukan najis, bukan juga berasal dari dalam badan.

“Tapi ia adalah angin yang termasuk ke dalam rongga, dan keluar semula,” katanya.

Perbincangan tersebut kemudian mencuri tumpuan netizen apabila kebanyakan tidak pernah mengetahui situasi sedemikian boleh berlaku dalam tubuh wanita.

Biarpun agak sensitif untuk dibincangkan, rata-ratanya bersikap positif dan menganggap ianya sebagai ilmu baru terutama membabitkan hukum agama.

Pada masa sama, hukum mengenai kentut faraj dalam pengambilan wuduk juga ada diterangkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, ia juga dibahagikan kepada dua pandangan.

“Pendapat mengatakan batal iaitu ulama daripada golongan ini berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita itu adalah sama hukumnya dengan angin yang keluar melalui dubur.

“Pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk, mereka berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita atau qubul lelaki itu tidak berasal daripada najis, sebaliknya berlaku kerana pergerakan otot, justeru ia bukan ‘kentut’, angin najis dalam erti kata sebenar,” tulis kenyataan itu.

Anda boleh rujuk penjelasan lebih terpercinci di sini.