Gaya Hidup
"Kenapa Kamu Dipilih Terima Ujian Ini? Kerana Kamu.." Nasihat Agamawan Untuk Bapa Ainul Undang Sebak
Baru-baru ini kisah bayi perempuan berusia lapan bulan menghidap ketumbuhan ‘Germ Cell Tumor’ di bahagian mulutnya, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin telah mendapat perhatian ramai pihak.
Selain warganet yang melancarkan tabung untuk pembiayaan Ainul, beberapa agensi tempatan juga turut memberikan pertolongan sewajarnya.
Terbaru posting di Facebook bapanya, Ahmad Safiuddin Razak, 24, turut menjadi perhatian apabila luahannya tentang erti kesabaran menghadapi dugaan Tuhan telah mengundang sebak ramai.
Menurut posting terbabit Ahmad menceritakan sedikit sebanyak nasihat seorang gamawan kepada dia dan isterinya.
Menurut agamawan terbabit, Ahmad dan isterinya beruntung kerana Allah SWT telah menguji mereka ketika usia muda.
"Kamu beruntung, ketika muda Allah SWT sudah uji kamu begini. Saya kira, ujian kamu sungguh hebat.
"Tapi percayalah, Allah SWT itu maha adil, maha mendengar, Dia mahu naikkan darjat kamu untuk pergi lebih tinggi, jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak," katanya.
Menurut agamawan itu lagi, Allah SWT tidak kejam sebaliknya Dia turunkan musibah dan ujian-Nya selari dengan kemampuan kita.
"Dalam ramai-ramai pasangan, kenapa kamu yang dipilih untuk terima ujian seperti ini? Kenapa tidak saya? Kenapa tidak mereka? Kenapa kamu yang dipilih?
"Sebab kamu berdua mampu. Tuhan turunkan musibah dan ujianNya selari dengan kemampuan kita, Allah SWT tidak kejam. Lapangkan hati dan reda," katanya.
Rata-rata netizen sebak dengan posting terbabit dan ramai yang mendoakan supaya perjalanan Ainul untuk melakukan pembedahan di United Kingdom berjalan lancar.
Must-Watch Video