Sejak dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia 4 (AF4) sekitar 16 tahun lalu, kelibat Mohammad Faizal Ramly jarang kelihatan.

Sempat menghasilkan sebuah album, karier nyanyian Faizal dilihat kurang menonjol berbanding bintang-bintang AF4 yang lain.

Selepas sekian lama tidak menonjolkan diri di khalayak, baru-baru ini, Faizal kembali menjadi bualan netizen apabila membuat kemunculan di platform TikTok.

Menerusi beberapa hantaran video yang dikongsi, Faizal kini difahamkan bergelar usahawan dan menguruskan perniagaan baharu menjual barangan kelengkapan rumah, Coway.

@smfhhabshee Replying to @Firdaos salam dari Faizal Ramliy #SenyumSokmoLah ♬ Gemuruh - Ash Fasryll & Nayli Azmi & Saiful Anwar

“Assalamualaikum semua, apa khabar? Saya sekarang berada di office saya, Coway yang saya usahakan baru-baru ini. Saya masih menyanyi. Saya harap doakan yang terbaik untuk saya.

“Kerana anda semua adalah rezeki saya dan saya adalah rezeki anda. Support each other. Tanpa anda siapalah saya. I love you all, senyum sokmo,” ujarnya ringkas.

Meninjau ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen yang menyatakan rasa rindu terhadap pelantun suara yang berasal dari Terengganu itu.



Ketika penglibatannya dalam AF4, Faizal sering mendapat tempat tertinggi pada konsert mingguan.

Menerusi konsert akhir AF4, Faizal menerima tugasan untuk menyanyikan lagu ciptaan Datuk M. Nasir dan allahyarham Loloq iaitu Lihatlah.

Selain nyanyian, Faizal juga pernah menceburkan diri dalam bidang lakonan menerusi dua naskhah filem, Momok The Movie dan Pulau Asmara.