Kecoh di media sosial apabila seorang doktor haiwan berkongsi video dia merawat seekor anjing.

Apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati netizen, doktor berkenaan yang beragama Islam tidak memakai sebarang sarung tangan ketika merawat haiwan tersebut.

Enggan isu berkenaan diperbesarkan hingga menimbulkan kekeliruan, doktor itu kemudian tampil menjawab mengapa dia tidak memakai sarung tangan.

"Kenapa doktor haiwan rawat anjing tak pakai gloves? I hope this will make you understand.

"Sebab pertama tidak pakai sarung tangan adalah untuk mendapat kepercayaan anjing. Biar anjing hidu bau tangan untuk kenal, anjing akan rasa selamat dan tidak terancam.

"Kedua adalah pemeriksaan fizikal. Guna deria sentuh untuk merasa seluruh badan anjing, kenal pasti kalau ada luka, benjolan, ketumbuhan pada kulit yang tidak nampak.

"Kemudian kita sertu untuk menyucikan diri daripada najis mughallazah," katanya menerusi video yang dimuat naik di Twitter.

Jelas doktor berkenaan, masih ada yang menjatuh hukum mendakwa pekerjaan doktor veterinar haram kerana menyentuh anjing.

"Disuruh cari kerja lain.Selagi hayat dikandung badan, selagi mampu, selagi larat, selagi itulah, ulang-ulang jawab soalan.

"Percaya tak? Masih ada yang ingat kami ni akan bermandi lumpur dan selut selepas bergelumang dengan anjing selepas rawatan.

"Tidak!Sebab tu selama ni orang anggap nak sertu tu susah. Leceh.

"Kalau faham dan ambil tahu, tak susah sertu ni. Methodnya sama seperti kita guna air sabun.

"Tapi tukar dengan air bancuhan tanah atau produk yang mengandungi tanah. Bilas dengan air 6 kali," katanya.

Tambahnya, dia berharap orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum tanpa sebarang usul periksa.

"Janganlah senang sangat menjatuhkan hukum pada kami, sampai ada yang dah tahu kedudukan kami di neraka sebab buat kerja ni," katanya.

Anda boleh lihat posting berkenaan di bawah.