Hiburan
Kenderaan Dilanggar Pemandu Mabuk, Drama Band Trauma!
Kumpulan Drama Band trauma apabila kenderaan dinaiki dilanggar sebuah kereta ketika melalui terowong di Jalan Tunku Kudin, Pulau Pinang, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Aepul Roza, Daus dan Fadhil mengalami calar-calar di badan akibat hentakan kuat. Namun, kereta jenis ‘pickup’ yang dinaiki mereka rosak teruk.
Aepul memberitahu, mereka baru tiba dari Kedah menuju ke lokasi penginapan di Pulau Pinang, apabila kenderaan dinaiki dilanggar sebuah kereta yang didakwa melalui selekoh berkenaan dengan laju.
“Kami keluar dari kenderaan dan sempat berjumpa dengan pemandu kereta terbabit dan penumpangnya.
“Apabila didekati dan ditegur, kami dapat hidu bau seperti alkohol daripada mulut pemandu dan teman-temannya. Bagaimanapun, belum sempat apa-apa, mereka meninggalkan lokasi kejadian.
“Tetapi kami buat laporan polis dan menceritakan apa yang berlaku,” katanya.
Aepul berkata, dia, Daus dan Fadhil bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan di hospital berikutan tidak mengalami cedera teruk.
“Biar apa pun yang terjadi, persembahan malam ini tetap diteruskan. Kami tidak mahu menghampakan peminat,” katanya.
Drama Band sedang dalam rangka promosi DramaTour 2020 di enam lokasi bermula di Perlis pada 13 Mac lalu hingga akhir bulan ini.
Sumber: BH Online.
Must-Watch Video