Seramai 11 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung ‘kenduri durian’ yang membabitkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon di kebun durian Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi Astro AWANI berkata, Mohd Rashid juga akan datang ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Daerah Batu Pahat bagi memberi kenyataan.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu dijangka akan hadir minggu ini sebaik balik dari Kuala Lumpur.

Katanya beberapa individu lain juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Video berdurasi 13 saat memaparkan Mohd Rashid bersama sekumpulan individu tanpa penjarakan sosial sedang makan durian di sebuah kebun tular di media sosial.

Mohd Rashid sebelum ini menyatakan video tersebut adalah video lama namun memohon maaf atas kekeliruan yang timbul kerana memberi kenyataan tanpa melihat video viral tersebut.