Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
VIRAL

Kenyataan 'saiz Seluar Lelaki Lebih 33 Inci' Bukan Niat 'Body Shaming' - Menteri

Gempak 18/05/2025 | 05:55 MYT

Menteri Kesihatan Indonesia mempertahankan kenyataan kontroversi beliau yang menggelar saiz seluar jean lelaki lebih 33 inci sebagai obes dan 'bakal bertemu Tuhan dalam masa terdekat'.

Komen lantang Budi Gunadi Sadikin mengundang gelombang kritikan dalam kalangan warganet di seluruh negara itu.

"Saya bukan memperlekehkan bentuk badan orang lain. Saya hanya beri tafsiran mudah tentang petua kesihatan yang mudah difahami semua pihak," katanya.

Pada Rabu, Budi mengkategorikan lelaki yang membeli seluar jean dengan saiz 32-33 inci sebagai 'mengalami obesiti dengan jelas'.

Beliau menjelaskan standard Kementerian Kesihatan menetapkan ukuran pinggang individu yang sihat adalah 90 sentimeter (kira-kira 35.4 inci) atau kurang daripada angka itu.

Budi memberi penjelasan itu ketika perasmian tiga perkhidmatan penjagaan kesihatan baharu bersama Gabenor Jakarta, Pramono Anung di Jakarta Tengah.

Program tersebut digelar Pasukan Putih, JakCare dan JakAmbulans yang bertujuan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Susulan kecaman warganet, Budi cuba meredakan salah faham itu dengan menyatakan niat sebenar beliau adalah untuk membantu orang ramai memahami bahaya kegemukan perut tanpa menggunakan bahasa teknikal perubatan yang sukar.

"Lemak viseral cenderung terkumpul pada bahagian perut. Ia boleh membahayakan tubuh jika merebak ke organ lain seperti jantung atau hati.

"Cara mudah untuk memeriksa ukuran pinggang yang sihat adalah dengan merujuk kepada saiz seluar jean masing-masing," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mengekalkan indeks jisim tubuh (BMI) di bawah bacaan 24 bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan yang berpunca daripada lemak viseral seperti penyakit jantung, hipertensi dan diabetes.

"Saya berasa tidak semua orang akan fahami jika kita gunakan istilah BMI atau implikasi kepada kesihatan. Oleh itu, saya gunakan saiz seluar bagi memudahkan pemahaman semua," katanya lagi.

Disindir warganet

Segelintir warganet mendakwa Budi tidak mengambil kira ukuran ketinggian yang turut menjadi faktor membezakan saiz pinggang setiap individu.

"Ada individu yang ketinggiannya melebihi 170 sentimeter (cm) dan memakai saiz seluar lebih 32 inci, namun badannya masih fit," ujar seorang pengguna media sosial.

Komen itu disokong seorang individu yang mempunyai ketinggian 183cm.

"Saya beli seluar saiz 33 dan ia kelihatan seperti seluar pendek ketat pada tubuh saya," katanya.

Ada juga warganet yang mempersoalkan sama ada Budi mempertimbangkan saiz tubuh Presiden Prabowo Subianto ketika membuat kenyataan itu.

"Apakah saiz seluar Presiden kita?" soal pemilik akaun @aksaravivani di Instagram.

Seorang lagi warganet, @kokokeuangan menyatakan, 'adakah beliau menyindir Presiden? Ia agak melampau! Adakah beliau tidak takut jika dipecat?"

Selain menitikberatkan ukuran pinggang, Budi juga menyarankan orang ramai supaya sentiasa memeriksa tekanan darah masing-masing.

"Individu yang mempunyai bacaan tekanan darah melebihi paras normal 120/80mmHG perlu segera membuat pemeriksaan susulan di pusat kesihatan (Puskesmas) yang menyediakan rawatan secara percuma.

"Usah pura-pura sihat jika anda mempunyai tekanan darah tinggi. Dapatkan rawatan segera," tegasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

#33 #Inci' #Saiz Seluar