Krisis rumah tangga aktres Puteri Sarah Liyana dengan Syamsul Yusof mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen antaranya golongan lelaki yang tetap mempertahankan pengarah tersebut.

Sebagai isteri dan wanita yang tidak bergantung harap kepada lelaki, Puteri Sarah menegaskan tiada istilah ‘suami beli beras’ memandangkan keperluan itu dia sendiri yang menyediakan.

“Kepada penyokong-penyokong lelaki di luar sana yang tegar menyokong Syamsul Yusof itu, yang kata kita beli beras.

“Check balik kot! Saya yang beli beras dengan lauk semua,” kata Puteri Sarah kepada Gempak.

Kenyataan Puteri Sarah itu mendapat pujian dan sokongan daripada kaum hawa yang menganggap aktres itu turut mempertahankan maruah dan memberi keadilan kepada wanita teraniaya.

“Ada duit harta, ada segalanya, tapi beras dan barang dapur pun tak boleh beli. Kesian Sarah. Teruskan berjuang, dan sentiasa kuat.

“Baguslah Puteri Sarah menegakkan keadilan kaum perempuan. Respect terus!” komen beberapa netizen.

Bagaimanapun, Puteri Sarah memberitahu Syamsul tetap menjalankan tanggungjawab memberi nafkah anak-anak mereka.

“Nafkah dia tak abaikan… nafkah anak-anak tak abaikan ya,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memerintahkan Puteri Sarah dan Syamsul untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.

Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah.