Tiada angin tiada ribut, nama penyanyi Amir Hasan secara tiba-tiba menjadi perbualan netizen apabila ada mendakwa dia bertanggungjawab menghilangkan wang milik rakannya, Andi Bernadee berjumlah RM70,000.

Enggan khabar angin itu terus diperkatakan, Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan, 25, tampil menjelaskan situasi sebenar.

“Saya nak clear kepada semua semua yang saya bukan individu yang ‘songlap’ RM70,000 duit Andi tersebut.

“Andi ialah seorang yang sangat baik, ikhlas dan jujur orangnya.

“Sejak saya masuk industri seni ni, dia adalah antara orang yang banyak bantu dan bagi nasihat dekat saya sampailah ke hari ini.

“Walau bagaimanapun tidak pernah terlintas di fikiran saya sekali pun untuk saya menganiaya kawan sebaik ini.

“Cuma saya agak kesal dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang terus menuduh, mencaci dan maki saya tanpa usul periksa,” katanya.

Jelasnya, dia juga memaafkan individu yang mengaitkan arwah bapanya dalam isu berkenaan.

“Tak apa adik, saya maafkan. Pada yang telah buat ibu saya menangis, tak apa adik, saya maafkan.

“Saya maafkan semua yang mungkin ‘terfitnah’ saya. Cuma saya nak nasihat pada semua, fikirlah dua tiga kali dulu sebelum buat pelbagai andaian.

“Jangan kerana satu perkataan sahaja, ia boleh buat jatuh fitnah. Berhati-hatilah dengan kata-kata anda. Fitnah itu lebih kejam daripada membunuh,” katanya.

Terdahulu, Andi mendakwa ditipu rakan baik yang juga pembantu peribadinya sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM70,000.

Susulan itu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile​, 30, membuat laporan di Ibu Pejabat Balai Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Dakwa Andi, individu tersebut menggunakan aplikasi WhatsApp miliknya untuk berkomunikasi berkaitan urusan kerja yang melibatkan transaksi bayaran.

BACA:Kawan Baik Songlap RM70,000 Andi Bernadee Buat Laporan Polis – “Itulah Hasil Titik Peluh Saya Untuk Sara Keluarga..."

A post shared by Amir Hasan (@amrhsn_)