GAYA HIDUP

Kepentingan Minum Air Kosong Sepanjang Bulan Ramadan

Asyraf Roslan 04/03/2025 | 04:55 MYT

Berpuasa selama lebih 12 jam tanpa pengambilan air boleh menyebabkan dehidrasi dan keletihan.

Oleh itu menjaga hidrasi sepanjang bulan ramadan adalah satu aspek penting bagi memastikan tubuh badan anda kekal sihat dan bertenanga ketika berpuasa.
Berikut merupakan beberapa sebab mengapa anda harus meminum air kosong yang secukupnya pada bulan ramadan.
1. Mengelakkan Dehidrasi

Ketika berpuasa, tubuh kehilangan banyak cecair melalui pernafasan, peluh, dan pembuangan air kecil.

Dehidrasi boleh menyebabkan keletihan, sakit kepala, dan masalah kesihatan lain. Oleh itu, minum air kosong secukupnya ketika sahur dan berbuka sangat penting bagi mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan.

2. Melancarkan Sistem Penghadaman

Pengambilan air yang mencukupi membantu sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik.

Ia dapat mencegah masalah sembelit yang sering berlaku sepanjang bulan puasa akibat kekurangan cecair dalam badan.

3. Menyokong Fungsi Buah Pinggang

Buah pinggang memainkan peranan penting dalam menyingkirkan toksin daripada badan. Kekurangan air boleh menyebabkan buah pinggang bekerja lebih keras, yang berisiko membawa kepada masalah seperti batu karang atau jangkitan saluran kencing.

4. Mengawal Selera Makan

Kadangkala, tubuh memberi isyarat lapar walaupun sebenarnya ia hanya memerlukan air. Minum air sebelum berbuka boleh membantu mengawal selera makan dan mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan, sekali gus membantu mengekalkan berat badan yang sihat sepanjang Ramadan.

5. Meningkatkan Tenaga dan Fokus

Air memainkan peranan penting dalam mengangkut oksigen ke seluruh badan, yang membantu mengekalkan tenaga dan meningkatkan daya tumpuan.

Kekurangan air boleh menyebabkan keletihan dan kesukaran untuk fokus, terutamanya bagi mereka yang bekerja atau belajar sepanjang bulan Ramadan.

6. Menjaga Kesihatan Kulit

Kulit yang terhidrasi akan kelihatan lebih segar dan berseri. Kekurangan air boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan kusam.

Oleh itu, pengambilan air yang mencukupi sangat penting untuk mengekalkan kelembapan kulit sepanjang Ramadan.

Cara Mudah Memastikan Hidrasi Sepanjang Ramadan
Untuk memastikan badan anda mendapat bekalan air yang mencukupi anda perlu mengambil sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong sehari sepanjang bulan ramadan.
Anda boleh mengunakan kaedah 2-4-2 dimana 2 gelas air ketika berbuka, 4 gelas air sepanjang malam dan 2 gelas air ketika bersahur.
Selain itu, elakkan minuman berkafein dan bergula kerana ia boleh menyebabkan kehilangan cecair lebih cepat.
Sebaiknya, minumlah air kosong secara berkala dalam jumlah kecil agar tubuh dapat menyerapnya dengan lebih baik.

Dengan memastikan tubuh mendapat air yang mencukupi sepanjang Ramadan, kita bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan yang baik tetapi juga dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih lancar dan bertenaga.

#Ramadan #Puasa #Air Kosong