Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan berikutan bilangan kes positif COVID-19 yang naik secara mendadak ketika ini lapor Awani.

“Sehingga 27 September, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan sebanyak 36 kes positif COVID-19 di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari Sabah, yang telah dikesan daripada 20 hingga 27 September 2020,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat mendoakan kesihatan baginda dan menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan diri dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan oleh kerajaan dan tatacara kebiasaan baharu berikutan situasi semasa jangkitan virus COVID-19 di Malaysia yang kian meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Al-Sultan Abdullah disahkan menjalani rawatan akibat keracunan makanan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ahmad Fadil Shamsuddin berkata selain itu, baginda turut menjalani rawatan intervensi akibat kecederaan pada sendi lutut dan buku lali.

Katanya, buat masa ini baginda dinasihatkan menjalani rawatan susulan di IJN.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah mula menjalani rawatan keracunan makanan selepas dimasukkan ke IJN pada malam Isnin minggu lepas.

Menurutnya, rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali baginda pula dilakukan susulan pegawai perubatan mengesan kecederaan yang dialami baginda ketika bersukan.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September (Khamis). Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

“Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada Isnin.

Sumber / Kredit Foto: Astro Awani