Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Kerajaan Belum Berhasrat Laksana Semula PKP Di Seluruh Negara” - Ismail Sabri

Mya Amri
03/10/2020 12:27 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini, lapor Awani.

Sekiranya terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Secara Pentadbiran akan dilaksanakan mengikut lokaliti seperti di Pantai Timur Sabah.

"Saya sudah katakan sebelum ini, tak mungkin akan sifar kes COVID-19 di seluruh negara. COVID-19 ini masih berada di sekeliling kita.

"Esok lusa, mungkin ada yang akan kena COVID-19 ini. Kalau ada satu atau dua kes, dan kita nak laksana PKP seluruh negara, sampai bila pun negeri-negeri tidak boleh dibuka kerana PKP akan terus dikenakan seluruh negara kerana satu dua kes ini.

"Jadi sebab itu belum lagi untuk kita laksana PKP," katanya dalam sidang media yang berlangsung hari ini (3 Oktober 2020).

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, jika terdapat kes yang meningkat dengan ketara, PKPD Secara Pentadbiran akan dilakukan mengikut kawasan tertentu.

"Kalau tiba-tiba di Selangor catat 40 hingga 50 kes, kita akan kenal pasti kawasan-kawasan di Selangor tersebut, iaitu kawasan merah secara bersasar di Selangor untuk kita laksana PKPD secara lokaliti.

"Kita tidak tutup seluruh Selangor pun. Kalau kena di Shah Alam misalnya, di Shah Alam sahaja, bukan seluruh Selangor.

"Mungkin satu atau dua pangsapuri atau perkampungan, ini sebagai contoh," katanya.

Semalam, negara merekodkan 287 kes Covid-19, menjadikannya jumlah kes harian tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
Dalam perkembangan terbaharu, Malaysia sekali lagi merekodkan kes tertinggi jangkitan COVID-19 di negara ini apabila sejumlah 317 kes baharu dicatatkan.

BACA: Malaysia Catat Jumlah Tertinggi 317 Kes Baharu, Semuanya Penularan Tempatan

Kesemua 317 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 303 kes di kalangan warganegara dan 14 kes bukan warganegara.
Sumber: Astro Awani
#Ismail Sabri