BERITA
Kerajaan Diarah Bayar RM1.1 Juta Kepada Ibu Model Belanda, Ivana Smit
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengarahkan kerajaan dan tiga pihak lain membayar RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen apabila mendapati wujud kecuaian oleh pihak polis ketika mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada tahun 2017.
Mahkamah memerintahkan defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Christina.
Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM100,000 kepada keluarga mangsa.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, Roz Mawar berkata, terdapat pelanggaran tanggungjawab oleh pihak berkuasa termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.
Menurutnya, defendan-defendan itu tidak mematuhi perintah yang dibuat Mahkamah Tinggi di sini pada 2019.
“Pegawai penyiasat yang terpalit dengan isu ini telah dikekalkan malah walaupun kes disambung semula, defendan gagal mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong kaedah siasatan yang berjalan.
“Lebih-lebih lagi apabila siasatan telah terhenti tanpa sebarang kemajuan ketara sejak 2019,” katanya.
Roz Mawar berkata, pada 8 Februari 2018 satu laporan mendedahkan kewujudan asid deoksiribonukleik (DNA) milik seorang lelaki warga Amerika Syarikat di bawah kuku si mati.
Walaupun bukti ini sangat penting namun katanya, lelaki itu bersama seorang lagi wanita dibenarkan keluar dari Malaysia pada 29 Mac 2018 hampir sebulan selepas hasil penemuan DNA itu diperolehi.
“Kematian seorang gadis muda berusia 18 tahun dalam keadaan mencurigakan seharusnya disiasat secara paling teliti dan profesional.
“Sebaliknya bukti menunjukkan rangkaian kegagalan, ketidakcekapan dan sikap sambil lewa terhadap prosedur yang betul,” tegasnya.
Pada 20 November 2020, Christina sebagai plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, Faizal, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.
Plaintif mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Dalam penyataan tuntutan, Christina berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video