Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan lokasi penggambaran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Padang Koba Teluk Bakong, Bota, Perak sebagai destinasi tarikan pelancong.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, cadangan tersebut dilihat baik untuk menarik kehadiran pelancong bagi mengunjungi lokasi penggambaran filem epik tersebut.

“Setakat ini kita belum lakukan apa-apa lagi untuk kekalkan lokasi pengambaran filem itu kerana difahamkan ia bukan set kekal.

“Bagaimanapun, kita akan lihat semula cadangan itu sama ada perlu untuk mengekalkannya sebagai destinasi popular dalam perfileman,” katanya kepada Kosmo.

Mengulas lanjut beliau berkata, Perak mempunyai banyak lokasi menarik yang sesuai dijadikan set penggambaran dan ia telah pun terbukti menerusi beberapa filem sebelum ini.

Malah, katanya, sejak tahun 2016 di bawah Perak Film Office (PFO), pihak itu telah menyediakan khidmat membantu pengusaha filem mendapatkan lokasi yang bersesuaian dengan kehendak mereka.

Katanya, langkah itu berjaya memperkenalkan banyak lokasi-lokasi menarik di Perak termasuklah Kapal Korek Warisan Negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) yang telah dilakukan beberapa siri penggambaran di situ.

Selain Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, beberapa filem lagi yang menjalani penggambaran di negeri Perak adalah Rise: Ini Kalilah, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior dan banyak lagi.


Sumber: Kosmo Online