Kerajaan meletakkan target lebih 200,000 ribu orang akan menerima vaksin COVID-19 bermula Julai depan dan ditingkatkan kepada lebih 300,000 sehari bermula Ogos.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara merupakan langkah bagi mencapai angka yang disasarkan.

"Ini adalah antara faktor yang menyebabkan saya melawat ke beberapa negeri termasuk Johor untuk memastikan keperluan membuka lebih banyak PPV berskala besar sekali gus dapat mempertingkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.

"Jika kita boleh lakukannya, saya yakin kita boleh capai sasaran kita untuk memvaksin 80 peratus daripada penduduk menjelang Oktober," katanya semalam.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata, seiring dengan pertambahan PPV, kerajaan juga berusaha menambah tenaga kerja yang mencukupi seperti jalinan kerjasama bersama pihak swasta, serta mendapatkan bantuan daripada doktor pelatih, pesara doktor, pesara jururawat dan pelajar perubatan.

"Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini iaitu bermula Julai diikuti Ogos dan September. Kita kini lebih jelas mengenai jadual penghantaran vaksin SinoVac dan sedang berusaha mengemas kini jadual penghantaran vaksin AstraZeneca kerana terdapat perubahan di sana," katanya lagi.

Sumber & Kredit Foto: Bernama