Laman Utama

Kerajaan Setuju Mansuh Hukuman Mati Mandatori

gempak
Azwa Rahman
11/06/2022
02:52 MYT
Sponsor Banner
Kerajaan Setuju Mansuh Hukuman Mati Mandatori
Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk pada budi bicara mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan beliau tentang Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.
“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor oleh Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.
“Jemaah Menteri juga telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Junaidi, kajian lanjut itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.
“Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan kelak.
“Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di Malaysia antaranya seperti perwujudan prosedur pra penghukum, penubuhan Majlis Penghukum, pembangunan Garis Panduan Penghukum, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan ‘restorative justice’,” katanya.
Tambah beliau, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekaligus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.
Sumber: Kosmo Online
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live