Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kerajaan Tetapkan Harga Maksimum Minyak Masak Botol

Awani
25/07/2022 18:11 MYT
Penjualan minyak masak botol akan ditetapkan mengikut harga maksimum.

Perkara itu tertakluk kepada perincian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, keputusan itu diambil memandangkan pengeluar minyak masak berbotol masih liat untuk menurunkan harga, biarpun harga minyak sawit telah turun.

Tambahnya lagi, alasan penjual bahawa mereka perlu mengekalkan stok pada harga tinggi kerana ia dibeli sebelum harga minyak sawit turun tidak boleh diterima sama sekali.

"Jawatankuasa telah membuat keputusan, di mana kerajaan akan mewartakan harga minyak masak botol mengikut kaedah undang undang sedia ada, dengan penentuan harga maksimum bagi minyak masak dalam botol.

“Dan ini akan dibuat dengan perincian tertentu oleh KPDNHEP, dan menetapkan tarikh bila ia akan diwartakan.

“Dan setelah diwartakan, minyak masak dalam botol akan mempunyai harga maksimum yang akan ditentukan dari semasa ke semasa, berdasarkan harga pasaran minyak sawit mentah dunia,” jelasnya.

Annuar berkata demikian kepada sidang media, selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Khas Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, jawatankuasa berpendapat kenaikan dan penurunan harga minyak masak tidak bersubsidi tidak boleh dibuat dengan terlalu berasaskan untuk mengekalkan margin keuntungan tinggi.

“Kalau sewaktu harga minyak rendah, dijual dengan harga mahal, sudah tentu ada keuntungan di situ, dan apabila harga minyak sawit (mentah) dunia turun, sepatutnya turun segera.

“Kerana tak berlaku, undang-undang sedia ada bolehkan KPDNHEP mewartakan barangan keperluan tertentu dengan kaedah penentuan harga maksimum,” katanya.

Oleh kerana permintaan kerajaan dua minggu lepas untuk pengeluar menurunkan harga tidak dilayan, Annuar berkata, undang-undang sedia ada membolehkan pewartaan itu dilakukan.

Jelasnya jawatankuasa menjangkakan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh seminggu lagi.

AWANI

#Kerajaan #Minyak Masak #Harga Naik #Harga Maksimum #Minyak Masak Botol