Laman Utama
Kerana Bercakap Dialek Sabah, Atu Susah Nak Dapat Job
Pelawak Atu mengakui sukar mendapat tawaran kerja hanya disebabkan dia lebih selesa bercakap menggunakan dialek Sabah.
Atu berkata, sudah beberapa kali namanya digugurkan produksi atas alasan dialek Sabahnya terlalu pekat.
“Bukan sekali, tetapi beberapa kali juga nama digugurkan daripada program sebab slanga Sabah saya yang pekat.
“Mereka kata penonton tak faham apa yang saya cakap dan terpaksa gugurkan nama saya,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun kata Atu, walaupun berasa kecewa namun dia menganggap rezeki tidak menyebelahi dirinya.
“Tak apalah, bukan rezeki saya. Bukan semua penerbit program beri alasan itu tapi ada di antara mereka.
“Bagi saya rezeki itu datang dari pelbagai sumber. Selagi boleh usaha saya akan terus mencari rezeki buat isteri dan anak-anak,” katanya positif.
Ditanya mengapa lebih selesa menggunakan dialek Sabah ketika berada di pentas atau mengacara program, Atu mempunyai sebab tersendiri.
“Salah ke jika saya mahu memartabatkan bahasa ibunda negeri saya? Kalau kami (anak seni) dari Sabah ini tidak mempertahankannya siapa lagi?
“Tapi bukanlah bermakna saya tidak boleh langsung bercakap dialek orang bandar (Kuala Lumpur). Saya boleh bercakap bukan dalam dialek Sabah tapi ramai penerbit tak yakin agaknya,” ujarnya.
Dalam pada itu Atu berkata dia akan mengajar anak-anaknya bercakap Sabah kerana tidak mahu mereka lupa asal usul keturunan.
“Ya walaupun Sumayyah dan Hud dilahirkan di Semenanjung, saya ajar juga mereka bercakap Sabah supaya mereka tahu mereka ada darah Sabah.
“Lagipun satu kelebihan buat mereka kerana boleh menguasai dialek negeri lain, bukan senang tau…Di Sabah lain daerah lain slanganya!”, kata Atu ketawa.