Semangkuk bihun sup pun menyebabkan seorang pelanggan dan peniaga berbalah antara satu sama lain.

Aswan Wanchik menerusi akaun Facebooknya telah memuatnaik beberapa keping gambar ketika sedang menikmati hidangan di restoran Bihun Sup Berapi, Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dakwa Aswan, peniaga restoran itu mengenakan harga RM13.50 untuk semangkuk bihun sup.

Namun, nilai bil keseluruhan menjadi RM31 untuk dua mangkuk bihun sup dan dua gelas teh o ais.

"Memang tak mengena orang. Ketika order tanya harga semangkuk mereka cakap selepas makan baru kira.

"Apabila nak bayar baru bagitahu RM13.50 semangkuk. Rupa-rupanya mereka takut nak bagitahu harga," tulisnya di Facebook tiga hari lalu.



Kes itu mendapat perhatian pengusaha restoran itu, Zam, 40, lantas menjelaskan situasi sebenar.

Katanya bihun sup yang dijual memang dalam anggaran RM5 hingga RM30 semangkuk bergantung pada jenis sup dan saiz mangkuk.

"Setiap mangkuk sup mengandungi campuran lobak masin, daging, daun sup, lemon, bawang goreng dan hirisan tomato serta diadun resipi turun-temurun tanpa ajinomoto," jelasnya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Malah, Zam membidas kenyataan Aswan dan memberitahu pelanggannya sebenarnya memesan lima gelas Teh O Ais bukannya dua gelas.

Siang tadi, Aswan mengemaskini status Facebooknya mendakwa peniaga itu sekali lagi menipu kenyataannya, menganiaya pelanggan dan melakukan jenayah mencuri.



Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Facebook Aswan Wanchik, Harian Metro