Kerana Hashtag, Ainan Tasneem Cetus 'Perang' Penyokong Liverpool & MU

Ahmad Shah
Oktober 18, 2016 00:55 MYT

Nama penyanyi lagu Aku Suka Dia, Ainan Tasneem tiba-tiba menjadi sebutan pengguna laman sosial baru-baru ini.

Semuanya bermula selepas Ainan memuat naik hashtag #harap18hbniliverpoolmakanmanu bersama sekeping gambar ke akaun Instagram, beberapa hari lepas.

Difahamkan, Ainan yang kini berada di United Kingdom, tidak ketinggalan berkunjung ke Stamford Bridge untuk menyaksikan perlawanan antara Chelsea dan Leicester City.

Ainan yang merupakan penyokong Chelsea, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila The Blues berjaya menewaskan lawan dengan tiga gol berbalas kosong.

Namun apa yang lebih menghangatkan keadaan apabila hashtag yang digunakan adalah berkenaan perlawanan antara dua pasukan musuh tradisi, Liverpool dan Manchester United (MU).

Netizen berpendapat, Ainan mempunyai agenda tersendiri apabila menyatakan sokongan buat Liverpool, sekaligus lebih rela menyaksikan pasukan itu jauh meninggalkan Chelsea dari segi pungutan mata.

Kata netizen, ia adalah berpunca dari sentimen enggan melihat MU mendekatkan jumlah mata dengan Chelsea.

Hashtag itu secara tidak langsung mencetuskan 'perang' di laman sosial, terutama sekali membabitkan penyokong tiga pasukan itu.

Ada juga yang mengungkit bagaimana Ainan sanggup menyokong Liverpool sedangkan pasukan itu pernah menewaskan Chelsea di gelanggang sendiri.

Berdasarkan kedudukan Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Chelsea berkongsi 16 mata, dan berada di kedudukan keempat dan kelima. MU pula kini berada di tangga ketujuh dengan 13 mata.

Terbaru, Ainan dilihat telah memadamkan hashtag tersebut dan memuatnaik sekeping foto di Stadium Old Trafford, lokasi keramat bagi penyokong MU.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Sumber: Astro Awani

#Artis Tempatan #Ainan Tasneem