Demi menjayakan watak pendakwah yang lebih moden, Pencetus Ummah (PU) Rizz terpaksa menurunkan berat badannya sehingga 10 Kilogram (kg).

Menurut PU Rizz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail, berat badannya turun daripada 78kg kepada 68kg ketika menjalani penggambaran filem Ada Apa Dengan Dosa sekitar Mac tahun lalu.

Menceritakan rutin hariannya, PU Rizz berkata, dia hanya mengurangkan jumlah makanan hariannya kepada separuh.

Malah menurutnya, dia juga turut melakukan senaman ringan untuk menurunkan berat badan dengan lebih cepat.

"Sakit jugalah tapi dah watak saya macam tu dan orang pun dah beri tanggungjawab, jadi lakukan juga.

"Setiap kali makan saya cut jadi separuh daripada jumlah yang selalunya saya ambil. Senaman pun saya buat," katanya.

Tambahnya, keputusan pihak produksi mengubah penampilannya bagi memberi kelainan terhadap imej pendakwah yang sering dilihat orang ramai.

"Bila terpaksa jadi moden ni saya terasa sedikit mencabar. Tapi apapun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran filem bercorak Islamik, Ada Apa Dengan Dosa baru-baru ini.

Antara pelakon yang membintangi filem terbitan Pencil Pictures Sdn. Bhd itu termasuklah Wanna Ali, Ashraf Muslim, Fasha Sanda, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.