Pelakon dan penyanyi Akim Ahmad, 28, mendedahkan dia telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 10 kilogram sejak dua bulan lalu selepas melakukan teknik ‘intermittent fasting’.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Mewangi itu, usaha untuk menurunkan berat badan itu dilakukan demi membawa watak remaja berusia 21 tahun bagi filem terbarunya Marabahaya Underground.

Jelasnya setakat ini berat badannya sudah susut sebanyak 10 kilogram (kg) daripada 74kg kepada 64kg.

"Menerusi filem itu saya bakal menjayakan watak pelajar kolej yang baru berjinak dengan sukan permotoran, kereta drifter.

"Bagi menampakkan saya lebih muda, saya kena ubah penampilan diri. Apa yang saya amal adalah ‘intermittent fasting’ yang mana saya hanya akan jamah makanan berat dari jam 9 pagi hingga 3 petang setiap hari," katanya.

Tambahnya, walaupun pada awalnya usaha untuk melakukan kaedah ‘intermittent fasting’ ini agak sukar, namun usaha itu berbaloi apabila berlaku perubahan mendadak.

"Susah juga ‘intermittent fasting’ ni, sebab mula-mula tu rasa macam nak muntah pun ada. Perut pun cepat masuk angin. Tapi Alhamdulillah lama-lama perut dah terbiasa, boleh teruskan dengan senang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Marabahaya Underground di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Filem Marabahaya Underground terbitan D’Edge Communication Sdn Bhd bakal menyaksikan Akim serta Hazama dan Dayana Roza sebagai peneraju utama. Filem ini turut menerima kerjasama daripada Tourism Perak dan MAPS ini dijangka menjalani penggambarannya, Ramadan ini.