Penyanyi dan pelakon, Linda Rafar mendedahkan punca lama menyepikan diri dari dunia hiburan.

Menurut Linda, dia mengambil keputusan untuk berehat dari dunia seni kerana mahu memberikan fokus kepada anak-anak.

“Sebagai seorang anak seni, saya mula menceburi dunia lakonan sejak berusia tujuh tahun. Namun, kerana tanggungjawab sebagai seorang ibu, saya terpaksa mengambil rehat dari kerjaya seni.

“Walau bagaimanapun, saya rasa kembali bersemangat ketika mula berada di set penggambaran baru-baru ini.

“Ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus berlakon, belajar dan mencipta karya-karya baru,” kongsinya.

Linda juga kini kembali dengan dengan lagu terbaru berjudul ‘Sujud’ yang juga merupakan runut bunyi bagi drama bersiri 25 episod iaitu ‘Zuriat dari Penjara’ yang akan bersiaran pada bulan Jun nanti di RTM.

‘Sujud’ bukan sahaja memenuhi hasrat Linda untuk kembali aktif dalam dunia seni, tetapi juga merupakan buah tangan untuk para peminat yang merinduinya.

“Lagu ini menceritakan tentang perasaan seseorang yang merasakan kesulitan dalam hidup akibat dari kesilapan dan dosa yang telah dilakukan di masa lalu.

“Dia mengakui kesilapan tersebut dan terasa beban, sehingga menyebabkan hatinya berasa resah dan tidak tenang.

“Namun dia tidak putus asa dan berusaha untuk memperbaiki diri dan berharap mendapat keampunan dari Tuhan.

“Lagu yang berkonsepkan Ketuhanan ini juga menggambarkan rasa cinta dan rindu kepada Tuhan. Melalui lirik lagu ini, dia juga memohon agar diberi kesempatan untuk berdoa dan bersujud kepada-Nya sebelum dijemput Ilahi,” jelasnya.

‘Sujud’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh HerdaSyira dan diterbitkan oleh RR Entertainment.

Lagu ini direkodkan di RR Studio Recording dan diedarkan oleh KRU Music.

‘Sujud’ sudah pun boleh distrim di kesemua platform digital dan lagu ini juga telah dilancarkan di saluran YouTube KRU Music.