WATCH
‘Kereta rempit dari pengeluar kereta orang tua’
“Kereta rempit dari pengeluar kereta orang tua,” itulah kata pemilik Mercedes-AMG A45 ini selepas ditanya apakah keunikan kenderaannya.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Kerul memiliki Mercedes-AMG A45 versi facelift keluaran 2016 dan sememangnya menjadi kegilaan kaki kereta buat masa ini.
Kehadiran jentera hatchback ini sekali gus membuatkan jenama Mercedes-Benz semakin diminati anak-anak muda kerana ia tidak lagi menampilkan imej bagi golongan mereka yang berumur.
Jentera dalam paparan ini sebenarnya tidak dibiarkan standard apabila pemiliknya mengambil masa setahun setengah untuk mengubahsuai dari penampilan luaran, dalaman serta prestasi enjin.

Jika dilihat pada bahagian luarannya, ia sebenarnya tampak bersahaja tetapi ditambah beberapa aksesori gentian karbon untuk menyerlahkan lagi karakternya.
Apa yang boleh dilihat ia diperkemaskan dengan aksesori Carbonetics Arts membabitkan, pintu belakang, spoiler dan penutup minyak.
Pada bampar hadapan juga ada kemasan gentian karbon yang digunakan seperti lips dan bahagian kemasukan angin, selain dapra sisi daripada jenama Carbonetics Arts.
Jika dilihat pada bahagian bonet, komponen itu sudah ditukar menggunakan material gentian karbon jenama Boca Design sekali gus memberi imej yang berbeza dan lebih agresif.

Sekiranya memasuki ruang kabin, boleh dikatakan ia masih lagi dipenuhi barangan tulen. Bagaimanapun, ia tampak hebat dan bergaya dengan penggunaan aksesori sama iaitu Carbonetics Arts yang menggunakan material gentian karbon.
Komponen yang diceriakan dengan material gentian karbon itu membabitkan konsul tengah, kemasan konsul meter kelajuan, konsul penutup pintu dan tiang tengah pada jentera berkenaan.
Selain Carbonetics Arts, jenama lain turut digunakan iaitu Utmost Downforce Performance menerusi penutup kerusi di bahagian belakang dan pedal penukaran gear di belakang stereng yang diperbuat daripada gentian karbon.
Skrin monitor pada papan pemukanya juga sudah ditukar kepada saiz lebih besar dengan 10 inci.

Bagi rangkaian kuasanya, ia masih menggunakan enjin binaan dengan tangan berkapasiti 2.0 liter, tetapi sudah dinaik taraf untuk meningkatkan prestasi kepada 413whp dengan tork setinggi 565.4Nm.
Buat pengetahuan anda, berdasarkan spesifikasi standard enjin itu mampu hanya menyalurkan 381hp dengan tork 475Nm.
Prestasi itu diperhebatkan dan dipertingkatkan dengan padanan pemetaan semula ECU peringkat ketiga dengan Unichip Q serta dipadankan ekzos Remus bersaiz 3.5 inci.
Jentera berkenaan turut dilengkapi Snow Performance Boost Cooler / Methanol Kit 300 psi, selain dipadankan intercooler Ams Performance Alpha untuk memberi sistem penyejuk yang optimum. Sistem penyejuk kotak gear pula diberi tugas kepada jenama Wortec.

Biarpun sistem brek asal Mercedes-AMG A45 sebenarnya sudah terbaik, ia tidak cukup bagi pemiliknya apabila menukar kepada jenama AP Racing pro 5000 R 6 pot yang dibantu cakera brek bersaiz 380mm.
Pada masa sama, hos brek juga ditukar kepada saluran keluli tahan karat jenama Goodridge untuk memberi kuasa hentian lebih mantap.
Pengendaliannya dipertingkatkan dengan spring sport H&R dan anti roll bar jenama sama untuk bahagian hadapan serta belakang, selain dilengkapi strut bar Alutec. Ia tampak lebih bergaya dengan padanan rim Rays ZE40 19 inci yang dibaluti tayar Michelin PS4S 235/45 R19.
Sementara itu, beberapa bengkel yang diberi tugas untuk menghasilkan jentera berkenaan membabitkan King Patrick, Carbonetics Arts, Speed Demon Motorville, ALC, JTTuned, Macao dan Raptor Motorsport.