Pelakon, Roy Azman melahirkan rasa syukur selepas dirinya selamat daripada mengalami sebarang kecederaan teruk apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba mengalami kebakaran di tengah lebuh raya.

Menurut Roy, dia tidak perasan mengenai keadaan keretanya itu sehinggalah ada beberapa pemandu kereta lain yang memberikan hon sebagai tanda amaran.

“Syukur alhamdulillah, saya, isteri dan anak selamat. Sempat keluar daripada kereta terbakar yang mana kereta tu saya telah hantar overhaul di Ampang.

“Sebenarnya petang semalam saya dah ambil kereta itu sebab sudah siap dibaiki, kemudian kami pergi makan bersama kawan-kawan di Puncak Alam.

“Balik dalam jam 11 lebih macam tu, ada kereta hon hon, yang beritahu kereta saya dah terbakar. Tapi tak nampak pun ada api kat bawah tu.

“Sebab kita tengah memandu, bila bergerak, api itu berada di bahagian bawah dan kebelakang jadi tak nampak.

“Sehinggalah ada kereta yang membunyikan hon, masa itulah nampak ada api,” ujarnya ketika dihubungi Gempak.
View this post on Instagram

A post shared by Roy Azman (@thisisroyazman)


Namun kata Roy, detik cemas tidak terhenti di situ apabila break keretanya pula mengalami masalah dan dia terpaksa menggunakan hand break untuk memberhentikan keretanya sebelum mereka sekeluarga lari menyelamatkan diri.

“Nak berhenti tepi, break pula kosong macam tak tidak ada fungsi. Tapi nasib baik hand brake masih boleh digunakan.

“Kereta agak menjajau sedikit tapi dapat break, nasib baik tak langgar pembahagi jalan. Kalau langgar, terpelanting ke terbalik ke apa memang tak tahu macam mana nak cakap sebab api tengah kuat masa itu.

“Sebab masa berhenti, api itu terus merebak. Menggelupur keluar kereta ambil anak.

“Nasib baik isteri saya walaupun tengah kelam kabut sebab api besar, tapi alhamdulillah dia dapat keluarkan anak bongsu kami.

“Kemudian kami terus lari selamatkan diri dan orang kata memang rezekilah terselamat daripada kejadian yang tidak diingini, syukur sangat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Roy berkata keretanya mengalami kerosakan penuh atau total lost namun apa yang lebih penting adalah keselamatan dan nyawa mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah semua selamat. Kenderaan memang total lost, terbakar sampai habis. Itu tak apa, yang penting keselamatan kami sekeluarga.

“Kepada semua yang mendoakan terima kasih banyak, ramai sangat yang telefon dan saya tak boleh nak angkat.

“Terima kasih juga kepada yang prihatin, telefon, WhatsApp, terlalu ramai. Terima kasih sangat-sangat.

“Laporan polis telah selesai dilakukan kira-kira jam 6 pagi, ini pun saya belum tidur lagi sebab selesaikan segala urusan dan sekarang saya sampai ke tempat penggambaran untuk bekerja,” ujarnya.

PILIHAN PEMBACA: Kereta Roy Azman Terbakar, Isteri & Anak Bongsu Sempat Selamatkan Diri


Terdahulu, Roy yang kini popular dengan Projek Bapak Bapak berkongsi hantaran di Instagram, menyaksikan kenderaan miliknya itu sedang dijilat api.

Malah, dalam hantaran sama, Roy turut berkongsi keadaan keretanya yang rentung selepas kejadian itu.