Laman Utama

Kerja Baik Pulih Dijangka 30 Jam, Paip Putus Sebab Apa Tu?

gempak
Mya Amri
30/12/2020
06:40 MYT
Sponsor Banner
Kerja Baik Pulih Dijangka 30 Jam, Paip Putus Sebab Apa Tu?
Kerja pembaikan paip air di Damansara Utama dijangka mengambil masa selama 30 jam sebelum bekalan air secara berperingkat dapat disalurkan semula.
Gangguan bekalan air yang terputus itu berpunca akibat kejadian tanah runtuh di lokasi berkenaan.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja pembaikan itu dijangka siap sepenuhnya pada awal pagi esok.
"Air Selangor telah memulakan kerja-kerja pembaikan paip yang terputus tersebut sejak malam semalam, 29 Dis, 2020.
"Bagaimanapun, kerja pembaikan dijangka mengambil masa selama 30 jam dan akan siap sepenuhnya pada jam 6 pagi, 31 Dis, 2020."
Pengguna di 63 kawasan terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Lumpur akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat selepas kerja pembaikan siap.
Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang, 1 Jan 2021, menurut Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri.
"Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
"Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang akan disediakan bermula jam 8 pagi ini untuk kemudahan para pengguna yang terlibat," katanya.
Air Selangor pada masa sama menasihati para pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan PKS yang disediakan.
Pada petang Selasa, Air Selangor memaklumkan berlaku kejadian paip putus disebabkan oleh tanah runtuh di Damansara Utama, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual.
Ia melibatkan 43 kawasan di Wilayah Petaling dan 20 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Sumber/Foto: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live