Berita
"Kerja Rumah Tangga Ni Tak Pernah Habis" - Ebit Lew Nak Guna Pembantu Rumah, Tapi Bidadarinya Tak Mahu Sebab....
Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew meluahkan rasa kasihan terhadap isterinya yang banyak berkorban masa dan tenaga menguruskan rumah tangga seharian.
Katanya, biarpun hanya sebagai seorang suri rumah, kerja dan tanggungjawab yang dipikul insan yang dianggap sebagai bidadari itu sesuatu yang cukup memenatkan.
Disebabkan itu jugalah, katanya, sebelum ini dia pernah mahu menggunakan khidmat pembantu rumah bagi mengurangkan bebanan bidadarinya, namun, hasratnya itu kemudian ditolak.
"Dulu ramai marah tanya takkan isteri belajar tinggi-tinggi duduk rumah jer jaga anak. Sebenarnya wanita bekerja atau tak bekerja penat sangat. Kerja rumah tangga ni tak pernah habis. Guru, kaunselor,cikgu displin, doktor, peguam, tukang kebun, cef, menteri, pendakwah, tukang cuci, basuh tandas, basuh berak anak, pelayan, jam loceng, 24 jam kerja seorang wanita saat di rumah.
"Kasihankan. Saya beberapa kali nak cari pembantu rumah. Bidadari saya kata 'Nanti tak boleh nak cium peluk abang bila-bila jer. Saya nak urus semua anak. Semua ilmu dan belajar tinggi untuk beri kasih sayang pada suami dan anak-anak'. Hari-hari urus anak pergi balik sekolah seorang diri," katanya.
Perkara itu dikongsikan Ebit Lew menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Katanya lagi, disebabkan jadual kerja yang sibuk, adakalanya dia dapat meluangkan masa bersama bidadarinya ketika menghantar anak-anak ke sekolah.
"Sedih. Bahagia. Kadang dapat dating masa hantar atau ambil anak sekolah. Masa dengan bidadari tu nikmat sangat besar dalam hidup.
"Dulu bidadari saya bekerja. Masa sibuk sangat. Bidadari kata dia suka nak jaga anak. Ya Allah penatnya mengurus rumahtangga. Dialah pendakwah sebenarnya. Dialah bidadariku di dunia dan sehingga syurga.
"Nikmat Allah pejam celik dah besar anakku semuanya. Penat belajar. Dalam kereta mesti tidur. Lena semua. Senang nak manja dengan bidadari saya," katanya yang turut memuat naik sepotong video ketika menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Perkongsian Ebit Lew itu kemudian menerima pelbagai respons positif dalam kalangan pengikutnya.
"Ya Allah bagusnya Ustaz Ebit ni. Mudah-mudahan kita dapat jodoh yang baik macam ini.
"Allah indahnya hidup seorang yang bergelar isteri apabila disayangi dan dihormati oleh suami," komen sebahagian pengikutnya.
Ebit Lew yang mempunyai 1.9 juta pengikut di Instagram itu cukup terkenal dalam memberikan ceramah yang menyentuh hal berkaitan institusi kekeluargaan.