Ibarat sirih pulang ke gagang, selepas membawa nama Malaysia ke persada dunia, pengasas Longhouse Films, Jon Chiew nekad untuk turut sama berbakti kepada industri filem tanah air.

Biarpun sebelum ini berpengalaman luas bekerja bersama studio utama seperti 20th Century Fox, Universal Pictures dan Sony Pictures, anak kelahiran Sarawak ini masih tidak melupakan asal usulnya.

Hasilnya, Longhouse Films akan bekerjasama dengan pengarah Paskal: The Movie, Adrian Teh untuk filem aksi terbaru paling dinanti-nantikan, Bakara.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, filem tersebut dijangka memulakan penggambaran pada bulan Jun tahun ini.

Paling mengagumkan, ia dijangka ditayangkan di Amerika Syarikat dan China apabila siap pada musim panas 2022.

Longhouse Films juga bakal terlibat dalam pelaburan dan pengeluaran beberapa filem seperti ‘Ada Hutan’ yang menampilkan sentuhan pertama pelakon Hairul Azreen sebagai pengarah.

Filem itu turut dibintangi pelakon handalan, Zahiril Adzim.

Dengan kerjasama antara syarikat pengalaman luas dengan pengarah terkemuka, filem-filem yang bakal ditayangkan nanti pasti akan mengubah landskap perfileman Malaysia.

Sekadar info, Longhouse merupakan sebuah syarikat pelaburan dan penerbitan filem syarikat terdiri daripada pemain peringkat antarabangsa yang berpengalaman.

Ditubuhkan pada tahun 2019, Longhouse Films memperoleh namanya daripada rumah panjang yang berasal dari Sarawak, tempat kelahiran pengasasnya, Jon Chiew.

Di peringkat global, Longhouse Films juga merupakan pengedar filem ‘Monkey King: A Hero's Journey to the West’ yang akan dilancarkan pada Mei tahun ini.

Dihasilkan oleh Jon Chiew, filem animasi itu diarahkan oleh bekas animator Disney Chris Bradley dengan pereka watak Marvel Studio, Walter A. McDaniel sebagai pengarah seni.