Label hiburan Rocketfuel Entertainment bersama label rakaman yang sedang meningkat naik, Werkit Records bersepakat menjalinkan sebuah kerjasama strategik buat pertama kalinya dalam usaha memperkenalkan barisan artis BBNU (Budak Baru Nak Up) naungan mereka menerusi sebuah konsert mini istimewa pada 30 Ogos 2022 ini.

Pengasas Werkit Records dan juga komposer Sharon Paul berkata, idea konsert mini berkenaan tercetus ketika berlakunya pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu.

“Ketika itu, kami tidak berpeluang untuk mengadakan sidang media secara rasmi, namun setelah bertemu dengan Kelly Azman dan rakan kongsi, kami bersepakat untuk mengadakan showcase, manakala Feros Sayna pula mencadangkan agar lokasinya diadakan di Nero Event Space.

“Konsert mini ini dinamakan Mimpi Showcase kerana ini merupakan impian dan ‘mimpi’ artis-artis kami untuk bergelar artis, beraksi di pentas pertunjukan dan menjadi artis rakaman, semuanya bermula dengan ‘mimpi’ untuk menjadi bintang suatu hari nanti,” katanya.

A post shared by Rocketfuel Entertainment (@rocketfuelent)


Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata: “Saya berharap agar penonton yang hadir pada malam itu akan terhibur dan enjoy dengan persembahan mereka semua.

“Semoga dengan Mimpi Showcase ini dapat membuktikan bakat yang BBNU ini ada sekaligus memperkenalkan mereka kepada khalayak umum. Terima kasih kepada semua penganjur dan nantikan lebih banyak lagi konsert dari kami pada masa akan datang,” katanya.

Barisan artis BBNU yang bakal beraksi pada malam tersebut terdiri daripada trio yang sedang popular dengan single OY iaitu Afiq Adnan, Nidza Afham dan juga Razmansyah, pendatang baharu dan juga atlet bola jaring negara, Fariha Razak, anak kelahiran Sabah, Khareez Kasbulah, penyanyi & penggubah lagu muda, Aliya Syadah, serta penampilan khas artis Rocketfuel seperti Irfan Haris, juara All Together Now musim pertama, Idris Brown, dan juara Kucate 2022, Syazwan Syahmi.

Pada malam itu juga, kejutan istimewa untuk tiga pemenang bertuah yang dipilih dalam kalangan penonton. Selain barangan cenderahati yang dijual, pembeli tiket turut berpeluang bertemu dengan artis baharu kesayangan mereka ketika sesi meet and greet di luar dewan sejurus tamatnya acara.

Showcase Mimpi bakal diadakan di Nero Event Space, PJ Performing Arts Centre (PKPAC), 1Utama pada 30 Ogos 2022 pada pukul 8 malam dan tiket boleh didapatkan menerusi www.onetix.com.my.