Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BIG STAGE S2 BM

"Kerjaya Selepas Program Ini Berakhir Itu Lebih Penting" - Ini Harapan Cakra Khan Buat Peserta Big Stage 2019

Rozaimi Zubaidi 08/08/2019 | 03:45 MYT
Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan kagum dengan bakat yang ada pada para peserta Big Stage 2019.
Menurut Cakra, sebagai seorang juri dia berharap agar para peserta Big Stage 2019 dapat mengunakan platfom ini untuk melangkah lebih jauh dalam industri nyanyian.
"Secara jujurnya saya yakin program ini mampu melahirkan banyak bakat baru supaya lebih menyinar bukan sahaja sepanjang pertandingan ini sebaliknya selepas Big Stage berakhir pun mereka masih lagi berada dalam industri.
"Ini kerana bagi saya kerjaya selepas program ini berakhir itu yang lebih penting.
"Saya melihat kesemua peserta ini boleh menyanyi dengan baik malah setiap daripada mereka mempunyai identiti tersendiri," katanya kepada Gempak.
Cakra berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Big Stage 2019 yang diadakan di Nicsmann, The Starling Mall, Damansara Utama, pada Selasa.
Senarai 12 orang peserta Big Stage musim kedua telah diumumkan semalam membabitkan bintang dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Korea Selatan.
{BACA: Gabung Peserta Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand & Korea... Ini Senarai Penuh Peserta Big Stage Musim Kedua!}
Peserta lelaki terdiri daripada empat orang penyanyi tempatan, Santesh, Irfan Haris, Adzrin dan Kucaimars, seorang peserta Brunei, Aziz Harun dan seorang penyanyi dari Korea, Han Byul.
Manakala perserta perempuan terdiri daripada empat gadis tempatan, Neeta Manisha, Sheryl Shazwani, Syada Amzah dan Fieya Julia, seorang peserta dari Thailand iaitu Chaleeda dan penyanyi muda dari Indonesia, Dinda Permata.
Alif Satar dan Sherry Alhadad sekali lagi bakal menggalas tugas sebagai pengacara Big Stage.
Personaliti radio ERA, Radin bersama Sissy akan menjadi hos Big Stage Live Plus yang akan disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Seorang lagi personaliti radio ERA, Hani Fadzil bakal menjadi hos untuk Studio Big Stage dan Kompilasi Studio Big Stage.
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan menggalas tugas sebagai juri tetap bersama dua bintang popular Indonesia, Judika dan Chakra Khan yang akan bergilir-gilir duduk ke kerusi juri pada setiap minggu.
Seorang juri undangan juga akan dijemput setiap minggu bagi menyertai dua orang juri tetap bagi mengadili persembahan bintang Big Stage.
Big Stage dibawakan kepada anda oleh Vivo selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Rancangan ini akan mula ditayangkan mulai 18 Ogos 2019, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
#Cakra Khan #Big Stage 2019