Pelakon Mubarak Majid menjadi antara mangsa penipuan atau ‘scam’ yang dilakukan menerusi aplikasi Facebook dan WhatsApp.

Perkara itu dikongsi Mubarak menerusi beberapa posting di Instagramnya, semalam.

Menurut Mubarak, dia mengakui menjadi punca beberapa kenalannya termasuk dalam kalangan selebriti terjerumus sebagai mangsa scammer.

Menurutnya, kecuaian berkongsi kod pengesahan yang dihantar ke telefonnya membuatkan aplikasi WhatsApp miliknya itu digodam individu tidak bertanggungjawab.

“Saya Mubarak Majid telah berjaya mendapatkan semula akaun WhatsApp saya.

Saya mohon maaf kepada sahabat semua kerana kecuaian mengendalikan Facebook hingga menyebabkan WhatsApp saya digodam.

"Sebenarnya saya diperdaya oleh rakan daripada Facebook yang saya tidak kenali, dia minta verification code WhatsApp dengan saya.

"Awalnya saya tak nak bagi, tapi dia pujuk dan memberitahu WhatsApp saya ada masalah dan perlu diperbetulkan, saya pun bagi tiba-tiba WhatsApp sudah tidak boleh digunakan,” katanya.

Jelasnya, ada diantara sahabat yang terpedaya lalu mengalami kerugian puluhan, ratusan dan ribuan ringgit.

"Laporan polis telah pun dibuat dan mana mana-mana individu yang membuat pemindahan wang kepada akaun scammer itu sila membuat laporan.

“Maklumkan saya juga hingga penjenayah itu tertangkap, Allahuakbar,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini terdapat enam rakannya telah memindahkan wang termasuklah pelakon Bell Ngasri dan anggaran kerugian melebihi RM10,000.