Kecoh di media sosial apabila seorang penceramah bebas ditahan berhubung kes amang seksual fizikal.

Difahamkan kes amang seksual itu dilakukan terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak rakannya di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu semalam ketika hadir memberi keterangan.

Jelasnya, kejadian didakwa pada Mac lalu ketika mangsa berusia lima tahun mengikuti keluarganya yang menyertai program diadakan suspek di rumah bot berkenaan.

Beliau berkata, suspek didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

"Ketika kejadian, mangsa hanya ditemani ayah dan neneknya sementara ibu mangsa tidak mengikuti program berkenaan.

"Difahamkan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebaik pulang daripada program berkenaan sebelum satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

"Suspek kini direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya menerusi Berita Harian.

Susulan daripada itu, kebanyakan netizen mula berteka teki mengenai siapakah gerangan penceramah berkenaan.

Adakah penceramah itu sangat popular atau sebaliknya? Semua masih menjadi teka-teki berhubung siapakah individu yang ditahan.

“Adakah penceramah popular tu? Tapi umur beza banyak!”.

“Eh siapa pula ni, kes berat ni”.

“Lagi kes berkaitan penceramah?,” kata beberapa netizen.