Kes Bella: TMJ Cadang 3 Penambahbaikkan Kepada Rina Harun
Awani
20/04/2022 01:38 MYT
20/04/2022 01:38 MYT
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella tidak berulang.
Cadangan itu dikemukakan dalam pertemuan melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex; dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, di Royal Johor Polo Club, di Johor, semalam.
Katanya, antara cadangan itu ialah agar pindaan perundangan membabitkan Akta Kanak-Kanak disegerakan.
“Penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera. Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Selain itu, Tunku Ismail turut menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan audit terhadap kesemua pusat jagaan kanak-kanak yang diluluskan serta menutup segera pusat jagaan yang tidak berdaftar dengan JKM.
"JKM perlu segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta. Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram," katanya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan juga perlu menjalankan kajian segera berhubung syarat pusat jagaan kanak-kanak yang hanya memperoleh tauliah dan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain.
“Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain.
“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Ahad lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.
Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
Baru-baru ini kes perbicaraan melibatkan remaja tersebut kembali hangat diperkatakan setelah mahkamah didedahkan beberapa perkara oleh pihak saksi pendakwaan.
Siti Bainun Ahd Razali, yang juga pengasas Rumah Bonda sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Astro Awani