Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kes Bunuh Diri & Kemurungan Meningkat, Syafiq Kyle Pesan Jaga Kesihatan Mental - "Allah Akan Tolong Sesiapa Sahaja Yang Tak Henti Berdoa"

Zulaikha Yusof
15/07/2021 03:48 MYT
Sedar dengan peningkatan kes bunuh diri dan kemurungan di Malaysia, pelakon Syafiq Kyle tampil bersuara mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental terutama sekali sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata dia berasa risau dengan situasi negara sekarang yang makin kritikal.

Bagaimanapun, dia melahirkan rasa syukur kerana dirinya masih mampu bertahan dari segi mental.

"Kes bunuh diri dan kemurungan di negara kita semakin meningkat akibat pandemik Covid-19. Alhamdulillah... saya tidak berdepan dengan masalah kemurungan.

"Tapi saya perlu memberi kesedaran mengenai isu itu dan saya tak terkejut kalau saya ada kemurungan sebab dalam keadaan sekarang ini, orang yang sihat pun berkemungkinan ada masalah itu juga.

"Sebab itu, dalam keadaan sekarang ini kita kena utamakan kesihatan mental.. kena kuatkan mental. Dekatkan diri kepada Allah dan jangan terlalu banyak mengeluh dengan apa yang terjadi.

"Kalau kita terlalu memikirkan masalah dan mengeluh, boleh merosakkan mental. Kita jaga kesihatan mental, insya-Allah.. Allah akan permudahkan jalan untuk kita," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelakon filem Pusaka ini menyatakan golongan penggiat seni dan pekerja di belakang tabir antara yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, pelakon berusia 29 tahun ini percaya setiap kesusahan dan keperitan yang dialami itu pasti akan menemui jalan penyelesaian.

"Rasa-rasanya ramai anak seni terjejas akibat pandemik Covid-19 sebab ada di antara kami yang bekerja baru dapat gaji atau selesai projek baru dapat gaji. Jumlah yang dapat itu pun belum tentu cukup atau tidak.

"Bagi saya, pasti ada jalan untuk mengubah hidup masing-masing... Insya-Allah dengan doa. Macam saya sendiri, dari segi kewangan tidaklah terlalu terjejas tapi kena jaga keadaan mental saja.

"Sebab itu saya cakap, kita kena utamakan kesihatan mental. Percaya pada rezeki... Allah tak kejam, akan tolong sesiapa sahaja yang tak berhenti berdoa," katanya lagi.

Syafiq ditemui pada sidang media drama terbaharunya, Suara Hati yang diadakan secara maya pada Rabu.

Selain Syafiq, drama 13 episod ini turut dibintangi oleh Hanna Aqeela, Aidil Aziz, Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan YM Dato’ Sri Rezza Shah.

Suara Hati bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 19 Julai 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
#Bunuh Diri #Syafiq Kyle #Kemurungan #COVID-19 #PKPD #Kesihatan Mental #PKP Lanjut
;