Kes penularan COVID 19 di Malaysia pada hari ini, Selasa (29/9/2020) kekal tiga angka untuk tiga hari berturut turut.

Menerusi sidang media dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Sri Dr. Noor Hisham, sebanyak 101 kes baharu direkodkan hari ini dengan 97 kes penularan tempatan.

Susulan peningkatan penularan COVID-19 direkodkan, rakyat Malaysia mula menyuarakan kebimbangan.

Bagaimanapun ada juga yang meluahkan rasa marah apabila masih ada segelintir pihak mengambil mudah dengan tidak mematuhi Standart Operating Sistem (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Menerusi sidang media yang berlangsung pada hari ini (29 September), Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri serta aktiviti dalam pub dan kelab malam.

Setakat ini polis telah menahan 82 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, seramai 75 individu telah dikompaun, enam direman dan seorang dijamin.



Berikut merupakan lima fokus utama kenyataan media berkaitan PKP pada Selasa, 29 September 2020 yang disenaraikan AWANI:

1) PDRM telah menahan 82 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 75 individu telah dikompaun, 6 direman dan 1 dijamin.

2) Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (46), tidak memakai pelitup muka (23), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (12), serta aktiviti dalam pub/kelab malam (1)

3) Semalam (28 September 2020), Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 29 PATI dan 2 penyeludup.

4) Sejak 24 Julai sehingga 28 September 2020, seramai 37,133 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan 10 premis lain.

5) Pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah melakukan 948 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 933 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Sumber / Foto: Astro Awani